'Putar belit fakta lawatan kerja PM tindakan tidak bertanggungjawab'

Iklan
Ahmad Farhan (kanan) mengiringi Anwar (tengah) dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew di Peru baru-baru ini. Foto Facebook Farhan Fauzi.

SHAH ALAM - Tuduhan jelik atau cubaan memutar belit fakta tentang kejayaan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, di sebalik kejayaan signifikan yang dicapai Anwar, masih terdapat pihak yang terus iri hati dan menabur tuduhan dangkal kononnya lawatan tersebut tidak membawa manfaat buat rakyat dan negara.

Iklan
Iklan

Hakikatnya, menurut beliau, pelbagai pencapaian penting berjaya diperoleh termasuk memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan reputasi di peringkat global.

"Penerokaan ekosistem halal di Amerika Latin melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation (HDC) dengan Suruhanjaya Penggalakkan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).

Iklan

"Selain itu, kolaborasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Inovasi Pertanian Negara Peru memperkukuh sektor pertanian dengan nilai perdagangan meningkat 49.1 peratus bersamaan RM1.58 bilion," katanya di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Anwar yang juga menteri kewangan membidas kritikan sesetengah pihak berhubung isu kos lawatan kerajaan bersama delegasi dan syarikat swasta ke lima negara baru-baru ini hingga menjadi perdebatan hangat.

Iklan

Anwar memaklumkan, segala prosedur dibuat secara bersih dan teratur, malah rombongan delegasi industri seperti Proton, Petronas, Sapura Energy, Top Glove, syarikat semikonduktor dan lain-lain juga membayar kos sendiri.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan menambah, lawatan kerja Anwar di Brazil turut membawa pulang pelaburan luar pesisir Petronas bernilai AS$6 bilion, projek kemudahan penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) Yinson Holdings sebanyak USD5 bilion serta eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jelasnya, dari sudut kepimpinan di persidangan antarabangsa khususnya Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2024, agenda kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan keselamatan siber diperkasakan.

Kata beliau lagi, Microsoft dan Google turut mengiktiraf dasar AI Malaysia sebagai komprehensif dengan pelaburan pusat data yang bernilai AS$2 bilion.

"Komitmennya terhadap Agenda 2030 untuk mengurangkan kemiskinan global. Anwar tegas mempertahankan hak Palestin di Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh selain menyeru sekatan senjata terhadap Israel.

"Bukan itu sahaja, beliau menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain dan menyingkirkan Israel daripada PBB.

"Ini petunjuk jelas bahawa Anwar bukan sekadar figura simbolik, malah pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda Madani," ujarnya.