MARAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar satu pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditubuhkan di Pahang terutamanya bagi membantu kes lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.
Baginda bertitah, ia merupakan satu keperluan berikutan ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali berlaku kejadian lemas dan seumpamanya.
"Sudah sampai masanya Pahang mempunyai team dedicated buat SAR. Kita tahu hotspot ni di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baru dapat mempercepatkan operasi.
"Sekurang-kurangnya (kewujudan pasukan khas) dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ini panjang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin.
Baginda berangkat melihat SAR seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor, Murdani Ab Rahman, 53, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini pada Ahad.
Titahnya, notis serta papan tanda peringatan perlu diletakkan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada.
"Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai, termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin, tergelincir," titahnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras.
"Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemui Cikgu Murdani.
"Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras," titahnya.