IPOH - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberikan tumpuan khusus terhadap Agenda Negara Menua dengan usaha mewujudkan jaringan keselamatan sosial.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagi tujuan itu kementeriannya telah memuktamadkan satu kertas dasar agenda tersebut yang akan dibentangkan di peringkat kerajaan awal tahun depan disusuli pembentangan Kertas Putih di Parlimen.
Menurutnya, daripada rangka kerja tersebut, beberapa perkara dikenal pasti untuk dilaksanakan penambahbaikan termasuk dari aspek undang-undang untuk mewujudkan industri penjagaan di negara ini.
"Untuk jangka masa panjang, kita juga perlu ambil kira tentang apakah bentuk perlindungan sosial yang diperlukan apabila negara kita menjadi negara tua. Kita kena tengok banyak perkara yang melibatkan sektor kerja, insurans, pencen dan lain-lain. Perkara ini juga akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam RMK13.
"Proses untuk membina keseluruhan jaringan keselamatan sosial ini bukan sesuatu yang boleh berlaku serta-merta dan ia berada di bawah kawal selia banyak kementerian, tapi RMK13 akan menjadi RMK pertama yang ada satu fokus khusus mengenai Agenda Negara Menua," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 Bersama Kerajaan Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan ahli-ahli mesyuarat kerajaan negeri.
Rafizi berkata, buat masa ini industri penjagaan tidak terangkum dari segi rangka undang-undang yang tidak jelas serta tiada kawal selia oleh mana-mana kementerian.
Justeru, Kementerian Ekonomi bersama kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memang memberi fokus terhadap perkara itu kerana bukan sahaja untuk penjagaan warga emas tetapi golongan rentan lain.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Inisiatif Usahawan Tani (Intan) akan diteruskan dalam RMK13 susulan keberhasilan yang ditunjukkan dalam projek dilaksana ketika ini.
Menurutnya, IPR-Intan akan diteruskan jika kerajaan negeri bersedia menawarkan lebih banyak tanah-tanah untuk dibangunkan bagi projek tersebut.
"Lebih banyak kerajaan negeri memberikan tanah, lebih cepat kami kembangkan dan buat masa sekarang saya lihat ada penerimaan yang baik oleh rakyat dan masyarakat sudah mula faham.
"Kerajaan negeri pun lebih ramai yang tampil untuk menawarkan tanah dan Kementerian Ekonomi akan pastikan bahawa peruntukan sewajarnya akan diberikan apabila tanah-tanah ini diberikan kepada kerajaan Persekutuan," katanya.
Menurutnya, IPR-Intan amat membantu dari segi keterjaminan makanan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan-bahan makanan ketika ini.