ALOR SETAR - Sesi perbahasan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek ‘diganggu’ beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perikatan Nasional (PN) ketika membangkitkan isu kehadiran pemimpin politik ke kawasan sekolah.
Bau ketika menjelaskan perkara itu, memaklumkan permohonan untuk memasuki kawasan sekolah perlu mendapat kebenaran dalam tempoh 30 hari.
Menurutnya, ia merupakan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap mana-mana pemimpin politik termasuk daripada kerajaan.
"Kemasukan ahli politik dan kenamaan ke kawasan sekolah menjadi isu sejak tiga persidangan lalu. Sekali lagi ingin saya tegaskan, tidak wajar tuding jari kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang hanya menurut arahan KPM.
"JPN tak halang mana-mana pihak sama ada pemimpin politik kerajaan atau pembangkang mengadakan program di sekolah. Permohonan perlu dikemukakan dalam tempoh 30 hari termasuk maklumat penganjur, jemputan, objektif dan impak program,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Perkara itu turut diumumkan Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek menerusi tatacara surat pekeliling garis panduan lawatan orang kenamaan dan ahli politik, NGO dan perseorangan ke premis sekoah.
"Kami (ADUN Pakatan Harapan) atau pembangkang (di sini) juga perlu buat permohonan sama. Kami juga pernah tidak diberikan kelulusan memasuki sebuah sekolah dan kami akur,” katanya.
Perbahasan itu kemudian dicelah Khairul Anuar Ramli (Bersatu-Lunas) yang mempersoalkan aspek keselamatan yang dimaksudkan.
"Dikatakan perlu buat permohonan kerana libatkan aspek keselamatan. Setakat ini tak dengar lagi peristiwa pelik berlaku seperti wakil rakyat bawa senjata atau peralatan yang boleh mudarat sekolah.
"Alasan itu amat dangkal dan tidak bertanggungjawab. Tidak ada wakil rakyat PN di Kedah masuk sekolah untuk kempen politik, hanya bercakap isu pendidikan. Alasan Sidam tak boleh diterima sebab tak munasabah,” katanya.
Sejurus itu, Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) turut berkongsi pengalaman tidak dibenarkan memasuki sekolah berbanding pada tahun 2020 ketika menjawat Exco Kesihatan.
"Ketika menjadi kerajaan (2020) terima jemputan untuk agihkan pelitup muka ketika pasca Covid-19, dibenarkan masuk sekolah tetapi hari ini tak boleh. Inilah kesan perubahan kepimpinan di peringkat Pusat,” katanya.
Sementara Mardhiyyah Johari (Pas-Pengkalan Kundor) secara sinis menyatakan kemungkinan wakil rakyat tidak dibenarkan masuk sekolah disebabkan bimbang keselamatan politik pihak tertentu terjejas.
Situasi semakin ‘panas’ apabila Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) menyifatkan ia perbuatan tidak adil dan berlaku ketidaksamaan hak.
"Saya bagi sumbangan hanya di depan pintu sekolah, kami bukan nak berpolitik hanya mahu bantu sekolah,” katanya.
Suasana menjadi sedikit tegang apabila Adam Loh Wei Chai (PKR-Bakar Arang) menempelak Mohd Ashraf kononnya pada 2021 ketika PN menerajui negara, bersikap lebih zalim.
"Saya ketika itu Pegawai Khas, pergi ke sekolah nak buat aduan berkenaan pokok, tidak dibenarkan masuk, PN waktu itu cukup zalim,” dakwanya.
Sekali lagi dakwaan itu ditangkis Mohd Ashraf apabila mempersoalkan siapa yang bercakap berkenaan reformasi pendidikan sebelum ini.
"Sekarang 2024, yang cakap pasal reformasi pendidikan adalah Pakatan Harapan (PH) bukan PN,” tegasnya.
Kedua-duanya berbalas hujah sebelum Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad mohon agar diminta kebenaran sekiranya mahu mencelah namun Bau bangkit menolak permintaan kerana mahu meneruskan perbahasan.
"Cukuplah kita sambung. Tak perlu bertekak, tak boleh selesai masalah pun,” katanya.