JAKARTA - Menteri Undang-Undang, Supratman Andi Agtas sedang mengkaji semula pemindahan lima penyeludup dadah Australia dari kumpulan Bali Nine ke negara asal mereka, lapor ANTARA.
Kajian semula pemindahan itu sedang dijalankan bersama Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Yusril Ihza Mahendra dan pihak berkepentingan yang berkaitan.
"Hasil kajian akan dirujuk dengan Presiden Prabowo Subianto untuk menghasilkan keputusan terbaik," kata Agtas dalam satu kenyataan yang disahkan pada Isnin.
Lima banduan dalam kumpulan Bali Nine ialah Si Yi Chen, Michael Czugaj, Matthew Norman, Scott Rush dan Martin Stephens.
Pada dasarnya, menteri itu berkata, Prabowo telah meluluskan pemindahan lima tahanan asing ke negara asal mereka atas alasan kemanusiaan dan untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara lain.
Bagaimanapun, Indonesia tidak mempunyai prosedur tetap mengenai pemindahan tahanan antarabangsa, tetapi pihaknya akan menjalankan proses itu secepat mungkin.
"Usaha ini penting untuk mengekalkan hubungan baik kita dengan negara lain. Bagaimanapun, kita juga mesti memastikan bahawa mereka menghormati proses undang-undang di Indonesia," kata Agtas.
Menurut menteri itu, negara asal banduan asing mesti mengiktiraf keputusan mahkamah Indonesia, kerana Indonesia mempunyai kuasa untuk membicarakan warga asing yang melakukan jenayah di wilayahnya.
Justeru, beliau menjelaskan bahawa banduan warga asing yang dipindahkan ke negara asal mereka mesti melengkapkan tempoh penjara mereka di negara masing-masing mengikut keputusan undang-undang Indonesia.
Selain memulangkan tahanan asing, menteri itu berkata bahawa Indonesia sedang berusaha untuk menghantar pulang tahanan Indonesia yang ditahan di luar negara.
Sehingga kini, Kementerian Undang-Undang telah menerima surat daripada duta beberapa negara mengenai pemindahan banduan asing ke negara asal mereka.
Agtas menyatakan bahawa beliau akan menghantar surat permintaan kepada Presiden Prabowo.
Bali Nine adalah nama panggilan untuk sembilan banduan dari Australia yang ditangkap di Bali kerana penglibatan mereka dalam kes sindiket dadah pada 2005.
Sembilan banduan itu terbukti menyeludup 8.2 kilogram heroin dari Indonesia ke Australia. Sembilan banduan itu ialah Andrew Chan, Myuran Sukumaran, Si Yi Chen, Michael Czugaj, Renae Lawrance, Tan Duc Thanh Nguyen, Matthew Norman, Scott Rush dan Martin Stephens.
Chan dan Sukumaran telah dihukum mati pada 2015, manakala Lawrence dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan dibebaskan pada 2018 selepas mendapat pengampunan. Thanh Nguyen meninggal dunia dalam tahanan semasa menjalani hukuman penjara seumur hidup pada 2018.
Baki lima banduan masih menjalani hukuman penjara seumur hidup di Indonesia. - Bernama