Perak berpotensi baik sebagai penyumbang ekonomi negara - Rafizi

Iklan
Rafizi ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bersama Menteri Ekonomi di sini hari ini. Foto Bernama

IPOH - Perak mempunyai potensi baik berbanding negeri lain sebagai penyumbang ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa rancangan yang telah disusun di peringkat kerajaan Persekutuan dan rancangan kerajaan Perak.

Iklan
Iklan

Antara projek berimpak tinggi di Perak termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

"Dari segi perancangan pembangunan, nod-nod industri yang telah pun ditetapkan, satu di utara, satu di tengah, kemudian satu di selatan, kemudian sebelah barat. Ini ialah projek-projek berskala nasional yang berpotensi untuk membawa masuk kluster-kluster industri.

Iklan

"Kemudian dari segi tenaga kerja, Perak ada asas yang cukup baik, sebab itu saya rasa kalau diberi tumpuan dan disambut juga dengan perancangan bersama kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan infrastruktur bagi menyokong nod-nod ini, sebenarnya Perak ada perancangan perindustrian yang menyeluruh dari utara sampai ke selatan, sampai ke barat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Perak, di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Rafizi berkata, dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang apabila lebih banyak projek berkenaan mula mencapai kemajuan fizikal, Perak mungkin bakal berada di tempat yang lebih baik daripada sekarang dari segi sumbangan kepada ekonomi negara.

"Kalau sekarang saya ingat dia penyumbang ketujuh terbesar kepada GDP Kebangsaan (Keluaran Dalam Negara Kasar), saya ingat Perak berpotensi untuk mengatasi beberapa negeri yang lain dengan perancangan sedia ada ini,” katanya. - Bernama