Wan Fayhsal selar tindakan King Sing mohon maaf

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang menyelar tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang membuat permohonan maaf kepada pelancong China baru-baru ini.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan King Sing yang memberi hujah kepada pelancong tersebut dilihat sebagai perkara remeh.

Iklan
Iklan

"Saya ingin menempelak hujah Menteri Pelancongan, beliau ini Menteri Pelancongan China ke Malaysia?

"Buat apa dia minta maaf di China? Kononnya kita tidak melayan pelancong China dengan baik, tiada prasarana yang memudahkan mereka.

Iklan

"Saya baru balik dari China (Beijing dan Shanghai), mana ada isu kita pergi sana mengemis minta dipermudahkan (papan tanda) dalam bahasa Inggeris. Kita tahu itu dasar dan undang-undang mereka," katanya semasa sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini, King Sing memohon maaf kepada pelancong China atas pengalaman yang tidak menyenangkan ketika mengunjungi Malaysia dan berikrar untuk menangani kelemahan itu.

Iklan

King Sing di majlis perasmian China International Travel Mart (CITM) di Shanghai berkata, kementeriannya menyedari pengalaman tersebut dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil berat tentang isu berkenaan sekali gus mengarahkan pihak berkuasa menambah baik langkah keselamatan pelancong.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada mendakwa Ahli Parlimen Bintulu itu juga tidak menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Pelancong datang sini dia bukan nak tengok kita lebih Cina daripada dia, dia nak meraikan apa yang yang ada di Malaysia.

"Bagi saya hujah yang diberikan oleh King Sing ini adalah alasan remeh-temeh, pemikiran cauvinis yang sama dengan DAP, walaupun dia bukan DAP,” katanya lagi.