Kelab Australia hangatkan MHL 2025

Iklan
Subahan (empat dari kanan) menyerahkan sijil kepada Jason (tiga dari kiri) pada majlis persefahaman di Bukit Jalil pada Isnin.

LIGA Hoki Malaysia (MHL) 2025 memasuki dimensi baharu apabila bakal disertai kelab dari Australia yang akan memeriahkan kejohanan berprestij itu untuk tempoh tiga tahun sehingga musim 2027.

Penyertaan kelab Territory Stingers yang berpangkalan di Darwin tersebut sebagai tambahan kepada pasukan dari China, Liaoning selain beberapa kelab tempatan.

Iklan
Iklan

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, penyertaan kelab tersebut membuktikan standard MHL yang menarik perhatian pasukan dari luar negara.

Malah beliau berkata, negara seperti Indonesia dan India turut menunjukkan minat untuk menyertai MHL, namun ia perlu dipertimbangkan sewajarnya demi kemajuan hoki negara.

Iklan

"Kita perlu berfikir di luar kotak dan terus bergerak ke hadapan. Meskipun berdepan kekangan kewangan, namun KHM perlu mencari jalan untuk mengembangkan potensi MHL dan para pemain negara.

"Mempelawa kelab luar negara beraksi di sini (Malaysia) mampu mencetuskan suasana baharu MHL agar ia lebih kompetitif sekali gus memberi nilai tambah serta pengalaman menarik kepada pemain tempatan," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan kelab tersebut di Bukit Jalil pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Hockey Northern Territory (HNT), Jason Butcher dan setiausahanya, Eddie O'Brien.

Subahan menjelaskan bahawa penyertaan kelab itu bukan sekadar beraksi dalam kancah MHL yang dijadual bermula pada 4 Januari hingga 22 Februari 2025, namun lebih besar daripada perancangan tersebut.

Beliau berkata, para pemain negara juga berpeluang menyertai kelab tersebut untuk beraksi bersama mereka dalam saingan Liga Australia.

"Klinik hoki juga bakal diadakan buat pemain Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) hasil bimbingan daripada jurulatih berpengalaman kelab tersebut yang merupakan bekas pemain kebangsaan hoki Australia.

"Pemilihan pemain tempatan untuk menyertai kelab itu akan diperincikan oleh jurulatih skuad senior negara (Sarjit Singh) dan barisan kejurulatihan pasukan remaja kebangsaan," katanya.