Media medium utama sebar maklumat pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027

Iklan
Fadhlina. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Media merupakan medium utama dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai berhubung pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu sentiasa menyampaikan maklumat daripada masa ke masa berhubung pelaksanaan kurikulum berkenaan dan peranan media adalah penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Kurikulum baharu seperti diwar-warkan adalah pada 2027 tapi sifat pelaksanaan dimulakan pada 2026 melalui pra sekolah dan tahun depan melibatkan penyebaran kurikulum.

"Kita memerlukan rakan media untuk memberikan persiapan kepada rakyat berdasarkan maklumat yang kita kongsikan dari semasa ke semasa," katanya semasa berucap pada Majlis Temu Mesra KPMxMedia, di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengarang Urusan Kumpulan (GME) Media Prima Bhd (Media Prima), Jasbant Singh dan pengamal media daripada pelbagai agensi.

Sebelum ini, KPM memperkenalkan tujuh teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

Iklan

Pelaksanaan kurikulum prasekolah Kurikulum Persekolahan 2027 memberi tumpuan kepada aspek pembentukan karakter penekanan kepada literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina memaklumkan, KPM turut memberi tumpuan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan 2025 yang disifatkan sangat penting.

Beliau berkata, penghujung tahun ini disifatkan sangat kritikal dengan bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu awal Disember dengan kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir.

"Ia (banjir) dijangka selesai pada Mac tahun hadapan, kita harap ia tidak mengganggu SPM dan kita doakan perkara tidak diingini berlaku," ujarnya.

Tambah Fadhlina, KPM juga akan menumpukan soal intervensi dengan menangani aspek keciciran secara bersungguh-sungguh, selain pemberian baucar buku RM100.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada agensi dan pengamal media kerana memberikan liputan meluas sepanjang dua tahun beliau menerajui kementerian terbabit.

Menurutnya, KPM merupakan antara kementerian yang mendapat liputan tertinggi media dengan sekitar 400 hingga 500 purata liputan mingguan.

"Liputan sehingga suku dua tahun ini adalah sebanyak 17,412 dengan akhbar yang paling banyak memberi liputan adalah Sinar Harian, Berita Harian dan Utusan Malaysia.

"Terima kasih rakan media yang membantu menyampaikan maklumat tepat dan cepat kepada seluruh lapisan masyarakat.

"Media sudah memberikan ruang yang cukup banyak kepada KPM. Saya turut melihat peranan pentimg media dalam menyampaikan mesej kerana anak kita melihat, membaca dan menilai.

"Ia selari dengan hasrat KPM untuk mendukung pendidikan yang berkualiti merangkumi semua lapisan masyarakat di Malaysia," katanya.