JUARA Kumpulan G, Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (SAMT SSAAS) mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan dalam mengharungi kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) musim ini.
Malah, pengendali skuad B-15 tahun SAMT SSAAS, Amir Hatin Asmali Jauhari berkata, pendekatan sama juga diguna pakai apabila berdepan SMK Telok Panglima Garang pada pusingan kedua di Stadium Sabak Bernam pada Selasa.
"Persiapan sama seperti perlawanan sebelum ini, kita mengambil pendekatan 'one game at a time'. Fokus apa yang kita boleh perbaiki daripada perlawanan sebelum ini.
"Status sebagai juara kumpulan tidak seharusnya membuatkan kita berasa selesa tapi perlu dijadikan peluang keemasan untuk mara ke peringkat seterusnya dan itu misi kita musim ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas lanjut Amir Hatin juga menegaskan tidak memandang rendah keupayaan SMK Telok Panglima Garang yang juga naib juara Kumpulan B.
"SMK Telok Panglima Garang, satu pasukan yang hebat dan tak boleh dipandang rendah, satu cabaran yang positif untuk pasukan kita.
"Namun, saya percaya pasukan kami mampu menyahut cabaran itu seperti yang dibuktikan dalam peringkat kumpulan dan saya yakin kita mampu mengulanginya di pusingan 16 pasukan terbaik ini,” katanya yang turut dibantu Alif Tajuin Abd Manap (penolong jurulatih), Mohd Hairunnur Hairuni (jurulatih penjaga gol) dan Noor Amali Bakri (fisioterapi).
SAMT SSAAS membuka gelanggang Kumpulan G dengan membelasah SMK Seri Garing, 4-0, kemudian diikat 1-1 SMK Sri Permata sebelum melabuh kempen kumpulan dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas SMK Bandar Baru Sultan Suleiman.
Sementara itu, pengurus skuad Bawah 15 tahun SAMT SSAAS, Muhammad Danish Hasif pula menegaskan kejayaan pasukan mara ke pusingan kedua memperbaiki pencapaian sebelum ini.
"Pencapaian edisi sebelum ini pasukan kami terhenti di peringkat kumpulan sahaja dan tiada rezeki ke pusingan seterusnya. Edisi kali ini jangkaan kami ialah layak ke pusingan 16 terbaik dan alhamdulillah ianya telah kami capai.
"Oleh itu, alang-alang berdakwat biar hitam, kami meletakkan sekiranya pasukan berjaya ke pusingan seterusnya, ia merupakan bonus dan sesuatu yang di luar jangkaan.
"ini memandangkan kami hanya turun selaku pasukan bukan pilihan dan hanya berbekal usaha dan doa, semoga pasukan kami dapat mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Mengulas lanjut pencapaian peringkat kumpulan sebelum ini Muhammad Danish berkata:"Alhamdulillah semua pemain memberikan komitmen baik sepanjang latihan dan berjaya mengaplikasikan segala perancangan barisan kejurulatihan semasa latihan pada hari perlawanan.
"Pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bermain dengan bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama sekolah.
"Tidak lupa juga sokongan yang berterusan daripada pihak pentadbir sekolah khususnya tuan pengetua dan penolong kanan kokurikulum kami yang menjadi nadi penggerak pencapaian pasukan ini.
"Penghargaan juga kepada ibu bapa yang banyak membantu pelajar-pelajar dan turut sama menyumbang kepada kejayaan pasukan.”
Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.