STATUS naib juara Masters China 2024 memacu beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk membaiki kedudukan ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) apabila mendaki lima anak tangga.
Penyatuan mereka pada November tahun lepas ternyata berbaloi apabila berjaya mengumpul 9,350 mata untuk melompat daripada tangga ke-23 ke nombor 18 dunia.
Penampilan Pang Ron-Su Yi di Shenzhen tidak diletakkan sebarang harapan, namun mereka membuktikan sebaliknya apabila hampir mengejutkan pasangan tuan rumah yang berstatus nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Mereka bermula baik pada set pertama menerusi kemenangan 23-21, namun terpaksa akur gandingan lawan lebih baik untuk mengesahkan kemenangan 23-25, 16-21 dalam aksi di Gimnasium Shenzhen pada Ahad.
Dalam pada itu, juara Terbuka China, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula memanjat satu anak tangga yang menyaksikan mereka naik ke tempat ketujuh dunia.
Sementara itu, kedudukan pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah, dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berubah apabila kekal di tempat keenam dan kelima.
Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pula yang terkandas ketika pusingan pembukaan Masters China terjatuh satu anak tangga di tempat kelapan.