SEPATUTNYA pertandingan merebut jawatan Gabenor Jawa Tengah antara Andika Perkasa dan Ahmad Luthfi adalah proses pemilihan biasa.
Andika mewakili Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) sementara Ahmad Luthfi dari Gerindra, parti dipimpin Presiden Prabowo Subianto.
Ahmad Luthfi dan pasangan wakil calonnya, Taj Yasin Maimoen didukung Koalisi Indonesia Maju (KIM) terdiri daripada hampir semua parti utama di Indonesia.
Namun demikian, dalam Pemilihan Umum Gabenor (Pilgub) Jawa Tengah (Jateng) terdapat drama dan intrig politik tersendiri.
Ketua Umum (Ketum) PDI-P, Megawati Sukarnoputri menganggap pertarungan di Jawa Tengah membabitkan nama baik PDI-P dan maruahnya sendiri.
Dalam Pilihanraya Presiden (Pilpres) 2024 berlangsung pada Februari lalu, PDI-P mengetengahkan Ganjar Pranowo dan Mahfud MD sebagai Calon Presiden (Capres) dan Wakil Calon Presiden (Cawapres).
PDI-P sepatutnya menang besar di Jawa Tengah. Secara tradisi itu kubu kuat PDI-P.
Tambahan pula Ganjar pernah menjadi gabenor di situ selama dua penggal. Tetapi Ganjar dan Mahfud MD tewas walaupun PDI-P memenangi banyak kerusi legislatif yang membawa wakilnya ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Itu merupakan tamparan besar bagi PDI-P. Megawati sedar bahawa cawe- cawe Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo (Jokowi) menyebabkan kekalahan calon presiden dan timbalan bagi PDI-P khususnya di Jawa Tengah.
Jokowi menggunakan kemudahan pemerintahan selain bantuan sosial (Bansos) sewenang-wenangnya memenangkan Pasangan Calon (Paslon) Prabowo dan anaknya, Gibran Rakabuming Raka.
Megawati berhak kecewa. PDI-P mendukung Jokowi untuk menjadi Wali Kota Solo. Memandangkan populariti Jokowi, PDI-P menyokongnya untuk menjadi Gabenor Jakarta.
Pada 2014, PDI-P sekali lagi mengusung Jokowi untuk calon presiden menentang Prabowo. Jokowi menang dan pada 2019, sekali lagi mempertahankan kedudukannya, juga dengan mengalahkan Prabowo.
Jokowi menjadi presiden popular dalam kalangan rakyat. Beliau adalah Presiden Indonesia pertama tidak datang dari elit politik atau ketenteraan.
Sokongan terhadapnya mencecah lebih 80 peratus.
Beliau mempunyai cita-citanya yang tersendiri.
Untuk Pilpres 2024, beliau mengetengahkan anaknya, Gibran bertanding sebagai wakil presiden.
Gibran yang belum cukup usia 40 tahun dibantu bapa saudaranya di Mahkamah Konstitusi (MK) untuk membolehkan batas usia diturunkan.
Megawati menganggap tindakan Jokowi mengenepikan PDI-P dan menyokong pencalonan Prabowo dan Gibran satu penderhakaan.
Malah beliau dianggap Malim Kundang (versi Indonesia untuk Si Tanggang).
Maka itu, dalam Pilgub Jawa Tengah kali ini pertaruhannya cukup tinggi.
Jakarta juga memperlihatkan pertarungan maruah yang sengit.
Kali ini antara Ridwan Kamil dan pasangannya, Suswono dengan Pramono Anung serta Rano Karno.
Terdapat juga Paslon bebas terdiri dari Dharma Pongrekun dan Kun Wardana.
Sekali lagi PDI-P bersendirian di Jakarta. Ridwan Kamil dari Golkar didukung semua parti dalam KIM.
Seharusnya ini laluan mudah bagi Ridwan dan Suswono.
Namun, tidak semudah itu sebenarnya. Buat beberapa waktu ada berita bahawa Anies Baswedan akan bertanding di Jakarta. Anies pernah menjadi Gabenor Jakarta.
Malah, pada saat- saat terakhir ada khabar angin Anies akan didukung PDI-P.
Apa yang berlaku sebenarnya adalah tangan tersembunyi Jokowi untuk memastikan Anies tidak bertanding sebagai calon Pilgub Jakarta.
'Siapa sahaja asalkan bukan Anis', begitu pendirian Jokowi. Anies dianggap 'berbahaya' sekiranya diberikan kedudukan di Jakarta.
Besar kemungkinan beliau menjadikannya tapak bertanding sekali lagi dalam Pilpres 2029.
PDI-P mengetengahkan Pramono yang pernah berkhidmat dengan Jokowi selama lebih 10 tahun selain pernah menjadi Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat.
Pramono adalah tokoh tiada kontroversi, seorang pekerja setia kepada Jokowi dan ahli parti yang patuh.
Sekali lagi Jokowi dikatakan masuk campur dalam pertandingan di Jakarta.
Anehnya sanggup memastikan kekalahan Pramono yang setia padanya selama ini.
Banyak pihak tidak faham mengapa Jokowi memilih menyokong Ridwan Kamil yang tidak pernah menunjukkan sebarang bakti padanya.
Ramai percaya pengaruh Jokowi tidak sekuat mana di Jakarta.
Anies masih punya taring. Maka, apabila Anies secara terang-terangan memberikan sokongan pada pasangan Pramono dan Rano Karno, ada pandangan mengatakan bahawa kesannya amat besar dalam Pilgub.
Tidak hairanlah sekiranya ada menteri dalam Kabinet Prabowo menganggap tindakan Anies satu kesilapan besar. Malah dukungan Anies dikatakan 'membangunkan dua macan (harimau)' yakni Jokowi dan Prabowo.
Apa yang pasti, berdasarkan tinjauan Paslon Pramono-Rano Karno memperlihatkan peningkatan berterusan sedangkan Ridwan dan Suswono menghadapi pelbagai masalah.
Banyak khabar angin mengatakan parti dalam KIM tidak sepenuh hati berkempen untuk mereka.
Pada waktu sama beberapa kenyataan mereka berdua membangkitkan kontroversi berlarutan.
Satu lagi perkembangan menarik adalah penyokong Anies yang dikenali sebagai 'Anak Abah' bergabung dengan musuh tradisi mereka, 'Ahokers' (penyokong mantan Gabenor Jakarta, Basuki Cahaya Pernama atau Ahok) bagi menyokong pasukan Pramono-Rano Karno.
Ini perkembangan tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Apakah benar bahawa dua 'macan' seperti disebutkan Maruarar Sirait akan betul-betul bangun dan mengubah senario Pilgub Jakarta?
Prabowo sudah menyatakan pendiriannya bahawa beliau akan menyerahkan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) kepada rakyat.
Beliau memang ada membuat video menyokong Ahmad Luthfi dan Yassin tetapi sekali itu sahaja. Banyak mengatakan beliau melakukannya atas desakan Jokowi.
Prabowo sendiri pulang ke Indonesia setelah lawatan dua minggu ke luar negara pada 24 November, tarikh itu memulakan waktu rehat daripada kempen sementara menunggu tarikh mengundi.
Apakah benar Jokowi masuk campur urusan Pilkada khususnya di Jawa Tengah dan Jakarta bagi memastikan cita-citanya mengetengahkan anak sulungnya sebagai calon presiden pada 2029?
Atau memastikan impiannya melahirkan Dinasti Jokowi? Menantunya, Bobby Nasution juga bertarung untuk jawatan gabenor di Sumatera Utara menentang gabenor masa ini, Edy Rahmayadi.
Sama-samalah kita lihat apakah keputusannya nanti apabila lebih 207 juta rakyat Indonesia membuat pilihan di 37 provinsi, 415 kabupaten dan 93 kota dalam Pilkada serentak pada 27 November ini.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, budaya dan sastera Indonesia.