Ancaman peperangan hibrid di Eropah

Iklan

KIEV - Sejak minggu lalu, Perang Ukraine-Rusia telah menjadi medan menguji kehebatan senjata setelah Kiev terlebih dahulu membuat provokasi dengan menggunakan peluru berpandu jarak jauh buatan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Moscow.

Kremlin juga tidak berdiam diri setelah 'sarang tebuan dijolok' apabila ia melancarkan misil hipersonik Oreshnik ke atas bandar Dnipro di Ukraine.

Iklan
Iklan

Presiden Rusia, Vladimir Putin dengan bangga mengumumkan pelancaran peluru berpandu jarak sederhana konvensional baharu yang berupaya terbang 10 kali ganda kelajuan bunyi dan didakwa tiada senjata mampu menangkisnya.

Perkembangan konflik yang bakal masuk tahun ketiga pada Februari depan mencetuskan kebimbangan baharu terhadap tindak balas Moscow melalui perang hibrid.

Iklan
Pusat pakar forensik Ukraine mengumpulkan serpihan misil dilancarkan Rusia ke atas bandar Dnipro.

Sejak beberapa tahun lalu, negara Eropah telah menyaksikan beberapa insiden seperti serangan siber, perbuatan sabotaj dan plot bunuh yang dikaitkan dengan Rusia.

Pegawai keselamatan percaya matlamat utama perang hibrid tersebut adalah untuk meningkatkan tekanan sosial terhadap sekutu Ukraine selain menjejaskan bekalan ketenteraan kepada Kiev yang bergantung penuh kepada bantuan Barat.

Iklan

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte memberi amaran Kremlin telah memperhebat kempen serangan hibrid kononnya untuk mengalihkan kedudukan barisan hadapan dari Ukraine ke negara Baltik, Eropah Barat dan sehingga ke utara.

roket belakang gambar putin.

TUDING JARI TERHADAP MOSCOW

Menurutnya, usaha sedemikian untuk mencetuskan kekacauan dalam pelbagai bentuk setelah Moscow dikatakan campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 2016 dan referendum Brexit.

Pada 2022, Estonia juga pernah menggagalkan kempen penggodaman Kremlin dan pihak berkuasa Norway pada tahun sama memberkas beberapa rakyat Rusia yang membawa dron bersama kamera di kawasan berhampiran infrastruktur minyak dan gas.

"Perkara baharu tentang serangan tersebut adalah skala dan intensiti yang disokong perubahan teknologi pantas dan kesalinghubungan global,” ujar NATO pada Jun lalu.

roket belakang zelenskyy.

Baru-baru ini, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller menyatakan Washington bimbang dengan ancaman peperangan hibrid dan diplomat Amerika saling berhubung dengan sekutu Eropah untuk memantau perkembangan tersebut.

Beberapa konspirasi yang terbongkar seperti plot bunuh eksekutif industri pertahanan Eropah yang didakwa telah didalangi Rusia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pembuat senjata Rheinmetall berpusat di Berlin.

Pada bulan lalu, polis antikeganasan Britain mendedahkan siasatan terhadap perbuatan sabotaj oleh Moscow melibatkan bom pembakar yang disembunyikan pada pesawat menuju ke negara itu yang dipercayai sebagai 'ujian' untuk serangan serupa di AS dan Kanada.

BRITAIN BIMBANG SERANGAN SIBER

Seorang menteri kanan di Britain mendakwa Rusia bersedia melancarkan serangan siber ke atas London dan sekutu Barat lain sebagai cubaan untuk melemahkan sokongan kepada Ukraine.

Amaran itu diberikan Canselor Kadipaten Lancaster, Pat McFadden yang turut bertanggungjawab terhadap keselamatan negara itu.

"Serangan siber itu boleh menjejaskan sektor perniagaan di Britain dan mengakibatkan jutaan terputus bekalan elektrik. Perang tersembunyi juga sedang dilancarkan ke atas Kiev,” katanya.

McFadden mengaitkan serangan siber tersebut dengan Unit 29155 di bawah risikan Rusia (GRU) yang pernah melakukan kempen penggodaman di London dan Eropah.

Kumpulan yang beroperasi mengikut arahan Kremlin itu dikatakan bertanggungjawab terhadap sembilan serangan siber berasingan ke atas negara anggota NATO termasuk menyasarkan infrastruktur kritikal.

Situasi yang semakin tegang di rantau Eropah turut mengundang resah Poland.

Perdana Menteri, Donald Tusk pada Jumaat memberi amaran terdapat risiko jelas Perang Ukraine-Rusia akan mencetuskan konflik global lebih besar.

"Perang di timur memasuki fasa lebih sengit dan tidak dapat dijangka. Ia semakin dramatik, sekali gus mewujudkan ancaman yang serius kepada dunia,” ujarnya.

Poland yang bersempadan dengan Kiev, Moscow dan Belarus telah menjadi suara utama menggesa negara anggota NATO memperuntukkan bajet pertahanan lebih besar susulan situasi keselamatan tidak menentu di rantau berkenaan.

Difahamkan, Warsaw sendiri telah memperuntukkan sebanyak 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk memperkasakan angkatan tentera mereka pada 2025. - Agensi