SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mashor hadir ke pentas Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) dengan misi besar iaitu meraih slot separuh akhir musim ini.
Malah pengendali skuad B-15 SMK Syed Mashor, Muhamad Haikal Abu Hanipah berkata, dijinakkan SMK Meru, 0-1 di suku akhir edisi 2023 memberikan pengalaman kepada pasukan berstatus juara Kumpulan B edisi kali ini.
"Pada tahun ini kami akan cuba menyasarkan separuh akhir dan jika rezeki memihak SMK Syed Mashor, sasaran seterusnya adalah menjulang trofi Piala Datuk Mokhtar Dahari,” katanya kepada Sukan Sinar.
SMK Syed Mashor dijadualkan berdepan SMK Bandar Baru Sultan Suleiman pada pusingan kedua Piala Datuk Mokhtar Dahari di padang SMK Syed Mashor, Batang Kali pada Selasa.
Mengulas persiapan berdepan naib juara Kumpulan G SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Muhamad Haikal menjangkakan saingan lebih sengit dan berintensiti tinggi.
"Kami telah memanfaatkan tempoh masa sebelum ini dengan memperbaiki kelemahan baik aspek bertahan dan serangan selain perkuatkan mental pemain bagi menyerap tekanan dalam fasa kalah mati ini.”
Ditanya lebih lanjut mengenai SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Muhamad Haikal berkata:"SMK Bandar Baru Sultan Suleiman sebuah pasukan yang harus diberikan perhatian serius.
"Status naib juara Kumpulan G membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat tinggi. Jadi kami akan berusaha sehabis baik untuk memenangi perlawanan ini bagi melangkah ke suku akhir.”
Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.