MELAKA - Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tambak Paya-Ayer Molek, di sini, pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek, Muhammad Faiz Amran, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC ketika itu dalam perjalanan dari arah Tambak Paya menghala ke Ayer Molek.
Menurutnya, setiba di lokasi mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
"Semasa sedang memotong, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 46 tahun datang dari arah bertentangan dan gagal mengelak.
"Akibatnya, mangsa bertembung dengan kereta terbabit dan mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.