Peniaga buang buah-buahan busuk secara haram dikompaun

Iklan
Keadaan di lokasi buah-buahan busuk dibuang secara haram di Kampung Parit Awang, Yong Peng. Foto Facebook Ling Tian Soon

BATU PAHAT - Sebuah kenderaan pikap dikesan membuang buah-buahan busuk secara haram di Kampung Parit Awang, Yong Peng sehingga menyebabkan bau busuk yang melampau di kawasan berkenaan.

Exco Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Ling Tian Soon berkata, lebih membimbangkan lokasi terbabit berhampiran saliran air yang dikhuatiri akan mencemari sumber air di Sungai Yong Peng.

Iklan
Iklan

"Semalam, kami menerima aduan mengenai pembuangan buah-buahan busuk secara haram yang menyebabkan bau busuk melampau.

"Lebih membimbangkan, lokasi pembuangan ini berhampiran saliran air, dan ketika hujan lebat, buah-buahan busuk tersebut dihanyutkan ke kawasan perumahan serta Sungai Yong Peng, sehingga mencemari sumber air," katanya dalam muat naik di Facebooknya pada Selasa.

Iklan

Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) segera dilaksanakan selepas menerima aduan mengenai isu berkenaan.

"Kelihatan sebuah pikap yang sarat dengan buah-buahan busuk dikesan menghampiri lokasi pembuangan untuk membuang sisa sekali lagi.

Iklan

Pihak berkuasa mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun terhadap pelaku. Foto Facebook Ling Tian Soon

"Pegawai penguat kuasa segera menjalankan tindakan undang-undang," katanya.

Menurut beliau, Majlis Daerah Yong Peng telah mengeluarkan dua kompaun dan satu surat amaran, mengarahkan pihak peniaga yang terlibat untuk membersihkan sampah yang telah dibuang.

"Kami sekali lagi mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Jangan sesekali membuang sampah secara sembarangan dan peniaga juga diwajibkan menguruskan sisa buangan mengikut peraturan yang ditetapkan," ujarnya.

Tian Soon turut menyeru masyarakat untuk menjadi 'mata' kepada pihak berkuasa bagi memantau dan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram kepada pihak berkuasa dengan segera.