FAMA bekal 60,000 kit makanan kepada mangsa, petugas bencana

Iklan
Aminuddin (tengah) menunjukkan kit makanan yang dimasukkan ke dalam kontena pada Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Bantuan Makanan Bencana Negara Monsun Timur Laut di Pusat Memproses Makanan FAMA, Tanjong Karang di Kuala Selangor pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membekalkan 60,000 kit makanan dengan kos sebanyak RM9 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada mangsa dan petugas hadapan yang terlibat bencana khususnya banjir di seluruh negara.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, setakat ini, sebanyak 34,550 kit makanan dan 15,000 unit makanan sedia dimakan fasa pertama telah diagihkan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur dan negeri lain yang berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerjasama erat antara pihaknya dengan Nadma dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu menunjukkan kesediaan agensi terlibat dalam menangani krisis makanan semasa berlakunya bencana.

"Ada beberapa cadangan dan saranan untuk kita tambah baik selain daripada memberikan kit makanan, kita juga mungkin boleh memberikan nasihat keselamatan kepada mangsa bencana seperti mengedarkan risalah dalam bentuk kod QR dan sebagainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Bantuan Makanan Bencana Negara Monsun Timur Laut di Pusat Memproses Makanan Fama, Tanjong Karang di sini pada Selasa.

Aminuddin (dua dari kiri) membuat pelepasan pengedaran kit bantuan makanan itu di Pusat Memproses Makanan FAMA, Tanjong Karang.

Iklan

Aminuddin memberitahu, negeri tertinggi menerima bekalan kit makanan itu antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Jelas beliau, buat masa ini, jumlah bekalan kit makanan itu mencukupi, namun tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan bergantung kepada tahap bencana dihadapi di sesuatu kawasan tersebut.

"Berdasarkan rekod tahun sebelum ini, memang kita telah bersedia untuk mencapai jumlah maksimum yang telah ditetapkan," tambah beliau.

Katanya, semua kit makanan itu sesuai untuk dimakan segera tanpa perlu memasak dan mampu bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya 11 bulan.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya telah bersiap-sedia dalam memastikan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan ayam mencukupi pada musim banjir.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di setiap negeri yang secara terus berhubung dengan pengeluar pertanian.

"Kita akan mengenal pasti dahulu lokasi berisiko dan kemudian akan berkomunikasi dengan pengeluar dari soal logistik dan sebagainya," tambah beliau.