Pendengaran bukti baharu ADUN Tronoh Januari depan

Iklan
Paul Yong bersama isteri keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa selepas mahkamah menetapkan empat hari pada Januari depan bagi pendengaran semula bukti baharu kes.

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa menetapkan tarikh tentatif empat hari pada Januari depan bagi pendengaran semula bukti baharu kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang disabitkan merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Tarikh berkenaan ditetapkan pada 13, 14, 21 dan 22 Januari dengan pihak pembelaan memanggil dua saksi iaitu peguam mangsa dan notari awam masing-masing dari Indonesia bagi memberi keterangan.

Iklan
Iklan

Peguam mewakili Paul Yong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pemberita berkata, Mahkamah Tinggi akan mengambil keterangan-keterangan tambahan daripada saksi tersebut dan menilainya tertakluk kepada penghujahan yang dibuat kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Peguam mewakili Paul Yong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik (kiri) ketika ditemui pemberita di luar mahkamah pada Selasa.

Selain Hisyam, Paul Yong turut diwakili Peguam Salim Bashir dan Low Wei Loke.

Iklan

Pengurusan kes dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Nur Laila Mohamed Nazil itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dan Liyana Zawani Mohd Radzi.

Sementara itu, Salim memberitahu, kedua-dua saksi berkenaan telahpun dijadualkan hadir pada tarikh perbicaraan tersebut.

Iklan

"Kerana ini adalah tarikh tentatif dan buat masa ini, kedua-dua saksi sedia hadir pada tarikh berkenaan.

"Mengenai mangsa pula, kita cuba yang terbaik untuk membawanya ke sini, jika tidak, maka kita akan maklumkan kepada mahkamah," katanya.

Paul Yong hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ditemani isteri.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan permohonan bekas wakil rakyat DAP berusia 53 tahun itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes merogol pembantu rumahnya.

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal membenarkan lima dokumen diterima sebagai bukti tambahan, dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan yang tidak benar semasa perbicaraan terhadap Paul Yong.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan berasingan, menolak rayuan dan mengekalkan sabitan bersalah Paul Yong atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara 8.15 dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.