KUALA LUMPUR - Seramai 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat atau 52.95 peratus masih belum memiliki rumah, dengan majoritinya adalah dalam kalangan kumpulan pelaksana iaitu 431,277 orang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan data semasa pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam dan pesara, Jawatankuasa Khas Tertinggi Perumahan Penjawat Awam Malaysia (JKT PPAM) pada 22 Jun 2024 telah bersetuju supaya permohonan rumah PPAM dikhususkan kepada penjawat awam yang berjawatan tetap atau kontrak dan pesara sahaja, khasnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
"Penjawat awam yang telah menerima manfaat melalui inisiatif PPAM adalah tertakluk kepada sekatan moratorium iaitu rumah PPAM yang dibeli tidak dibenarkan dijual dan dipindah milik selama 10 tahun bermula dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) tentang sama ada anak pesara dan penjawat awam lantikan kontrak masih dibenarkan untuk memiliki unit PPAM.
Tambah Fadhlina, kerajaan melaksanakan program PPAM untuk membantu penjawat awam khasnya yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah kediaman di seluruh negara terutamanya di bandar-bandar utama.
Melalui inisiatif PPAM, sehingga kini seramai 36,479 penjawat awam telah menandatangani Perjanjian Jual Beli.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 87 peratus pembeli iaitu 31,942 orang adalah penjawat awam berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.
"Data ini menunjukkan bahawa kumpulan penjawat awam yang disasarkan telah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM.
"Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM466,657,200.00 bagi meneruskan program PPAM di seluruh negara. Penyediaan rumah PPAM ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam - swasta agar sumber negara yang ada dapat digunakan secara optimum,” katanya.