PUTRAJAYA - Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk mengetepikan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang sepatutnya diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, ditangguhkan ke 9 Januari tahun depan.
Ia membabitkan kes memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 2014 lalu.
Bagaimanapun tiada alasan dimaklumkan, berhubung penangguhan keputusan terbabit.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu.
"Saya sahkan kes ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi media, pada Selasa.
Pada 26 Ogos lalu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan Rabu untuk keputusan rayuan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.
Surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan syarikat milik Peter, 53, iaitu, Asli Jati Engineering.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi menjatuhi Peter hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat itu.
Pada 18 April 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mengekalkan hukuman penjara dan denda, selepas menolak rayuan Peter selaku perayu, untuk mengetepikan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Sesyen.
Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah dan Francine Cheryl Rajendram, sementara peguam, S Devanandan mewakili Peter.