Tunggakan bil elektrik meningkat kepada RM1.1 bilion

Iklan
Bilangan akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipotong sehingga September 2024 meningkat kepada 627,491 dengan amaun tunggakan berjumlah RM1,008,771,447.78 berbanding RM945,435,794.07 direkodkan pada tahun 2023.

SHAH ALAM – Bilangan akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipotong sehingga September 2024 meningkat kepada 627,491 dengan amaun tunggakan berjumlah RM1,008,771,447.78 berbanding RM945,435,794.07 direkodkan pada tahun 2023.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemungkinan faktor kelewatan pembayaran adalah kekangan kewangan, sikap tidak bertanggungjawab, sambil lewa dan sikap bayar TNB terakhir (pay TNB last).

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada statistik tersebut, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu merekodkan jumlah akaun dan tunggakan yang tertinggi sehingga September 2024.

"Secara keseluruhannya, jumlah pengguna TNB adalah seramai 10.4 juta orang iaitu 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta bukan domestik namun terdapat sebahagiannya yang tidak membuat pembayaran dalam tempoh ditetapkan.

Iklan

"Berdasarkan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990, TNB boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan semula jumlah tertunggak melalui peringatan, perbincangan dengan pengguna dan sekiranya tiada jalan penyelesaian dicapai, pemotongan bekalan elektrik terpaksa dilaksanakan,” katanya pada Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka ) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil elektrik.

Iklan

Tambah Akmal Nasrullah, kementerian melalui TNB telah mengambil inisiatif menuntut tunggakan bil elektrik daripada pengguna yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu domestik (kediaman) dan bukan domestik (komersial, perindustrian, pertanian dan lain-lain).

"Sebenarnya bila ada tunggakan kita cuba elak untuk lakukan pemotongan kerana ia sumber tenaga asas untuk semua orang.

"Oleh itu, saya nasihatkan kepada pengguna untuk lakukan perundingan. Setakat ini bila runding dan sebagainya bekalan itu akan disambungkan semula,”ujarnya.