SHAH ALAM - Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) menggesa pengendali hotel mempercepatkan proses pemulangan semula pembayaran tempahan kepada 60 daripada 2,000 ejennya yang terjejas akibat pembatalan tempahan pelancong China susulan wabak koronavirus (Covid-19).
Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, 60 ejen tersebut memberi fokus kepada pelancong China dan mengendalikan sejuta pelancong dari negara tersebut yang datang melancong ke negara ini pada tahun lalu.
"Untuk tahun ini ejen terlibat sudah membuat bayaran tempahan awal di beberapa hotel bagi tempoh dari 25 Januari sehingga 8 Februari lalu.
"Bagaimanapun, 80 peratus daripada tempahan yang melibatkan kira-kira 300,000 pelancong China terpaksa dibatalkan pada saat akhir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, bayaran tempahan awal yang dibuat ejen adalah menggunakan duit atau modal sendiri bagi memastikan pihak hotel tidak menawarkan bilik-bilik tersebut kepada pihak lain.
"Apabila penularan koronavirus berlaku, tempahan dibatalkan dan ejen-ejen kita berdepan pula masalah aliran tunai berikutan sudah membayar tempahan awal kepada pihak hotel yang menyediakan penginapan.
"Usaha untuk mendapatkan pembayaran balik dari hotel juga masih tidak selesai kerana ia tidak dikendalikan dengan betul sedangkan 60 ejen kami itu amat memerlukan wang tersebut untuk menanggung kos-kos lain," katanya.
Katanya, selain pemulangan semula bayaran dari hotel, kebanyakan ahli MITA juga berdepan isu sama dengan pihak pengendali feri serta restoran yang juga terpaksa dibatalkan tempahan pada saat akhir.
"Secara purata, sebahagian daripada sektor dalam industri pelancongan memang terkesan akibat koronavirus sama ada secara kecil atau besar terutamanya yang melibatkan pelancong China.
"Bagaimanapun, kita juga takut sekiranya pelancong dari negara lain akan turut membuat keputusan sama untuk membatalkan percutian ke Malaysia kerana risiko jangkitan koronavirus," katanya.
Dalam pada itu, Uzaidi berkata, MITA juga sudah mengambil langkah tertentu dengan bekerjasama bersama kementerian seperti menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi menangani masalah ahli yang timbul kesan daripada wabak koronavirus.
Menurutnya, MITA juga berharap pihak bank dapat memberi kelonggaran bayaran ansuran bulanan kepada semua ejennya yang mengusahakan perkhidmatan bas persiaran.
"Kos ansuran bulanan yang perlu dibayar bagi sebuah bas adalah RM1,200 dan sesetengah ejen kami mempunyai 30 ke 100 buah bas bagi satu syarikat. Bayangkan dalam keadaan sekarang, bagaimana untuk mereka membuat pembayaran tersebut secara konsisten?
"Kita harap Kementerian Kewangan dapat meneliti perkara itu secepat mungkin dan MITA juga akan mengadakan MITA-Tavel Fair pada 23 Mac nanti bagi membantu ejen membuat promosi perkhidmatan disediakan mereka bagi menarik 92 juta pelancong domestik untuk melancong dalam negara dan memanfaatkan pakej ditawarkan," katanya.
Uzaidi berkata, selain itu MITA juga sedang meneroka produk tempatan seperti di Kelantan dan Pahang untuk dipromosikan sebagai persediaan menambat semula hati pelancong ke negara selepas wabak Covid-19 pulih.