Mara Inc beli hartanah terlebih nilai di UK, Australia

Iklan
Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mendapati Mara Inc telah melakukan pembelian hartanah yang terlebih nilai di London, United Kingdom dan di Melbourne, Australia.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembelian berkenaan melibatkan Dudley International House di 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Melbourbne pada 2013 diikuti Beaumont House di London pada 2014, yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah merayu dan perkara itu dibawa kepada Majlis Ekonomi yang kemudiannya memberikan kelulusan pada 2013.

Beliau menjelaskan kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini masih dalam perbicaraan mahkamah.

Iklan

"Bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku, PAC mengesyorkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) dan Mara Inc perlu memastikan cadangan pelaburan sama ada dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset yang bernilai tinggi seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan memberi keutamaan dalam pelaburan domestik.

"Cadangan tersebut perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang,” katanya dalam kenyataan media selepas pembentangan Laporan Pengurusan Mara Inc di bawah KKDW di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Menurut Mas Ermieyati, penemuan itu adalah hasil daripada tiga prosiding yang dijalankan oleh PAC pada 30 Julai dan 10 Sept lepas.

Saksi yang memberi keterangan termasuk Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat) Roslan Abu Bakar; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf; Pengarah Perancangan Korporat Kumpulan Mara Corp, Datuk Amir Azhar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Mohd Fadzil Mohd Idris.

"PAC juga berpandangan tindakan Mara Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada tahun 2015 adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.

"Justeru, PAC mengesyorkan KKDW, Mara, Mara Corp dan Mara Inc memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan yang jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat,” katanya.

Menerusi laporan sama, PAC turut mengemukakan beberapa syor kepada KKDW, MARA dan MARA Inc untuk menambah baik pengurusan kewangan dan pelaburan termasuk menggubal satu polisi yang lengkap dan jelas berhubung penilaian hartanah.

"KKDW, Mara dan Mara Inc perlu memastikan semua projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah dan projek tenaga boleh baharu serta pelan pemasaran disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.

"Mara Corp perlu tegas dalam mengawal selia semua anak syarikatnya supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan,” katanya.

Beliau berkata Mara Inc juga perlu menyediakan Pelan Operasi Standard (SOP) penyewaan hartanah yang lengkap supaya isu tunggakan sewa tidak berlaku dan tidak menjadi hutang lapuk. - Bernama