PETALING JAYA - Seorang pengurus syarikat percetakan didenda RM7,600 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah, lima bulan lalu.
Hui Pooi Loong, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Said.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah, yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebagai mana peruntukan Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ringkasan berita:
- Pengurus syarikat percetakan, Hui Pooi Loong, didenda RM7,600 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa.
- Denda dikenakan atas dua pertuduhan menyimpan dan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah.
- Kejadian berlaku di syarikat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 7 Jun lalu.
- Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Said.
- Jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara enam bulan.
- Kesalahan di bawah Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.
- Pegawai Pendakwa KDN memohon hukuman setimpal, tetapi tertuduh merayu denda minimum.
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat terbabit di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada jam 11.50 pagi, 7 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(4) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa KDN, Mohd Amin Azhar Qairil Yusoff memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal namun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan denda pada kadar minimum.