ISKANDAR PUTERI – Silibus pembelajaran di Sekolah Rintis Bangsa Johor tidak akan mengganggu dasar pendidikan negara sedia ada seperti yang digariskan Kementerian Pendidikan (KPM).
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, Sekolah Rintis Bangsa Johor hanya memberi penekanan dan nilai tambah terhadap empat elemen.
Menurut beliau, elemen tersebut ialah pemantapan Bahasa Inggeris di samping memartabatkan Bahasa Melayu serta peningkatan kemahiran dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
"Dalam masa sama silibus pendidikan sedia ada kita kekalkan cuma nilai tambah kita berikan kepada pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor. Yang penting ia tidak mengganggu gugat sistem pendidikan dan dasar pendidikan negara yang sedia ada sekarang.
"Contoh silibus biasa Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris kita gunakan, tetapi kita akan guna teknologi terkini dalam bidang pendidikan seperti Strategies For English Learning and Reading (STELLAR)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat itu memberitahu, dua buah sekolah kebangsaan (SK) dan dua buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor bermula tahun depan.
Jelasnya, ini membabitkan seramai 2,352 pelajar di SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang (407 pelajar), SK Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang (532 pelajar), SMK Tasek Utara, Johor Bahru (611 pelajar) dan SK Tasek Utara, Johor Bahru (802 pelajar).
Menurut beliau, sekolah terbabit dipilih berdasarkan empat kriteria utama antaranya sekolah yang mempunyai satu sesi persekolahan bagi memaksimumkan tumpuan terhadap pembangunan pelajar.
"Selain itu, faktor diambil kira ialah kepimpinan sekolah yang proaktif dan komited bagi menjamin keberhasilan program yang dirancang.
"Sekolah terbabit juga merupakan sekolah dengan pencapaian sederhana supaya memberi peluang untuk mengangkat prestasi sekolah terbabit ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita bermula dengan empat sekolah sekiranya berkesan kita akan pergi ke sekolah lain. Tempoh tiga tahun diberikan, bagi menilai kita memerlukan tempoh panjang," ujarnya.
Pada Julai lalu, kerajaan negeri berhasrat melancarkan sekolah rintis Johor bermula tahun depan dengan tumpuan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan bahasa Inggeris.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kewujudan sekolah rintis itu selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti di Johor.
Pada 13 Februari lalu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya kerajaan negeri mempertingkatkan pendidikan anak Bangsa Johor supaya tidak keciciran.
Pada 9 Mei lalu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan supaya silibus mata pelajaran sekolah yang sudah tidak lagi relevan diperbaharui.
Baginda bertitah, langkah itu menjadi satu keperluan berikutan pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian pelbagai isu.