KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan terdapat 55 kes penyeludupan dadah menggunakan dron berlaku di penjara seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes paling serius berlaku di Penjara Tapah, Perak diikuti Penjara Alor Setar, Kedah.
"Ada satu yang tak berlaku semasa (Ahli Parlimen) Larut (bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin), ada di tempat saya. Seludup dadah pakai dron, ini saja 55 kes.
"Paling serius di Penjara Tapah, kedua di Penjara Alor Setar. Tu paling serius, dia jatuhkan dadah pakai dron. Kita kena ada anti dron, ada pasukan penembak untuk musnahkan dron.
"Kita dapat kesan dan dia pun ada inovasi juga. Bila ketatkan pemeriksaan, hantar pakai dron pula. Buat masa sekarang, semua dapat kesan dan tak dapat bolos,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung prosedur operasi standard kerajaan dalam menghapuskan dadah yang dirampas, selain langkah bagi menangani kes penyeludupan dadah di dalam pusat tahanan.
Tambah Saifuddin, susulan insiden penyeludupan dadah di pusat tahanan, KDN dan agensi kawal selia yang berkenaan perlu kuatkuasakan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penjara 1995.
"Kedua, orang awam atau ahli keluarga yang datang dalam jadual melawat dan bawa benda (dadah) itu. Ketiga ialah orang dalam tahanan itu sendiri. Bila dia keluar misalnya ke hospital atau untuk perbicaraan, ada ruang di situ,” jelasnya.
Justeru, Saifuddin berkata, pihaknya memperketatkan prosedur di pusat tahanan dengan melakukan pemeriksaan semasa orang tahanan dibawa masuk, seawal hari pertama.
Selain itu, ahli keluarga akan diperiksa rapi semasa melakukan lawatan dan menegaskan bahawa tiada hari tanpa pemeriksaan rapi di sel-sel atau bilik tahanan.
"Kita juga kena buat perkongsian maklumat antara polis, penjara dan agensi yang berkenaan. Apa langkah lain? Kita pasang peralatan. Semasa zaman Larut dulu, pasang pengimbas. Hari ini, kita kekal.
"Ada cadangan pasang CCTV (kamera litar tertutup) dan ‘portable device drug detector’. Sampai sekarang kita cuba tapi duit tak cukup,” katanya.