[VIDEO] Kedai makan tunggu masa 'dimakan' ombak

Iklan

KUALA NERUS - Beberapa pekedai di kawasan pantai Kampung Pengkalan Maras di sini terpaksa menutup perniagaan selepas diancam hakisan akibat dibadai ombak besar pada musim tengkujuh ini.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati beberapa kedai yang berhampiran di tebing pantai itu sudah menutup operasi perniagaan serta beberapa struktur kedai makan mula runtuh.

Iklan
Iklan

Peniaga kedai makan, Roslan Omar, 56, berkata, keadaan itu bertambah buruk sekiranya tiada tindakan segera daripada pihak kerajaan negeri kerana sebaik sahaja musim tengkujuh melanda sememangnya berlaku ombak besar sehingga menyebabkan banyak kedai berhampiran pantai mengalami kerosakan dan runtuh akibat hakisan tersebut.

Roslan menunjukkan keadaan kawasan yang mula diancam hakisan akibat dilanda ombak besar. Gambar kecil: Tuan Zaimah dan Mahani

"Saya terpaksa tutup kedai makan sebab nak berniaga pun berada dalam ketakutan. Ini kerana pada musim tengkujuh sememangnya ombak dari pantai boleh naik tinggi sehingga ke jalan.

Iklan

"Ditambah pula, kedai saya berada di tepi tebing pantai maka memang mudah dibadai ombak besar sehingga menyebabkan struktur kedai makan rosak dan runtuh.

"Melihat keadaan sekarang ini... tidak mustahil pada bulan Mac tahun depan, kedai makan saya akan lenyap dan ditelan laut jika tiada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak berkaitan untuk selesaikan masalah berkenaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai makan miliknya di Kampung Pengkalan Maras di sini pada Selasa.

Iklan
Antara kedai yang rosak dan telah menutup operasi perniagaan.

Mengulas lanjut, Roslan mendakwa dirinya sangat kecewa kerana aduan sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan terutama kerajaan negeri sejak 2018 namun tiada tindakan diambil setakat ini untuk menangani isu tersebut.

"Kami sudah membuat aduan pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit namun tiada lagi tindakan diambil untuk tangani isu ini dengan cepat.

"Sebaliknya bekas ADUN Batu Rakit dari UMNO iaitu Bazlan Abd Rahman pula mengambil berat dan prihatin tentang perkara berlaku pada kami (peniaga).

"Kita bukan mahu berpolitik tetapi rakyat mahukan wakil rakyat atau kerajaan yang dapat tangani masalah rakyat dengan segera. Bukan hanya sekadar 'tunggu dan lihat' sehingga keadaan sudah bertambah buruk barulah tindakan susulan diambil," ujarnya.

"Saya sangat sedih kerana terpaksa berhenti berniaga di sini. Kedai makan yang dibina ini menggunakan modal saya sendiri serta bantuan menerusi pinjaman.

"Jadi kini saya sudah hilang punca pendapatan kerana terpaksa berhenti beniaga dengan keadaan sekarang di mana struktur kedai mula runtuh dan rosak, sudah tidak selamat untuk berniaga.

"Saya terpaksa cari kedai makan lain untuk berniaga tetapi dengan keadaan ekonomi sekarang di mana sewa kedai pun mahal, saya buntu...jadi saya sangat terkesan apabila terpaksa menutup kedai makan ini kerana bukan sahaja hilang punca pendapatan malah perlu bayar pinjaman dibuat ketika membina kedai makan ini di tanah yang disewakan," katanya sambil menahan tangisan.

Keadaan kedai makan rosak akibat hakisan pantai.

Sementara itu, seorang penduduk, Tuan Zaimah Tuan Long, 57, berkata, kerajaan negeri perlu membantu masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama berikutan tidak mustahil kebanyakan kedai makan berhampiran pantai itu musnah akibat dipukul ombak besar.

"Kita berharap buat penghadang ombak untuk selamatkan kedai makan dan rumah penduduk di sekitar kawasan ini.

"Aduan sudah dikemukakan pada pihak berwajib tetapi sampai sekarang masih lagi tiada tindakan susulan diambil. Disebabkan masalah ini, banyak kedai yang retak dan hampir nak roboh.

"Jadi kita simpati pada peniaga di sini sebab banyak kedai makan terpaksa tutup perniagaan disebabkan kawasan di sini sudah tidak selamat malah ramai yang alami kerugian akibat struktur di kawasan kedai yang retak dan hampir runtuh," ujarnya.

Pada Sabtu lalu, lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut dengan kain kafan di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di sini, terpaksa dikebumikan semula selepas dihanyutkan ombak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras, Mohd Isshamudin Ismail berkata, tanah perkuburan yang terletak berdekatan pantai itu sudah lama diancam masalah hakisan terutama ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun, fenomena air pasang berserta ombak besar pada malam Jumaat itu menyebabkan lima kubur runtuh dan hanyut dibawa ombak besar.