KUANTAN - Sebuah syarikat pemaju perumahan membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berhubung kenyataan yang dianggap fitnah dan berniat jahat mengenai status projek perumahan Generasi FELDA (PGBF).
Pengarah Urusan KMDI Holding Sdn Bhd, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, selain laporan polis, peguamnya juga akan menghantar surat saman kepada wakil rakyat berkenaan dalam masa terdekat.
Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan kenyataan ADUN Kuala Sentul dalam sidang akhbar pada Isnin adalah tidak berasas dan demi kepentingan politik pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau turut menyangkal tuduhan bahawa projek terbabit terbengkalai kerana ia masih berjalan sebagaimana persetujuan yang dibuat menerusi perjanjian bersama dengan kerajaan Pahang melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang.
"Dua projek di Sungai Retang dan Jengka 11, dalam proses pembinaan dan berada pada tahap 80 peratus siap, serta akan diserah milik kepada pembeli pada suku pertama tahun 2025 nanti.
"Sebagaimana dipersetujui bersama dengan Kerajaan Pahang, 10 projek ini akan dibina secara berperingkat dan dijangka diserah milik kepada pembeli sebelum akhir tahun 2026 untuk ke semua 10 tapak projek terbabit," katanya pada Selasa.
Pada Isnin, Jasri dalam sidang akhbarnya menggesa kerajaan negeri menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh kontraktor PGBF dan KMDI dengan kadar segera.
Jasri dilaporkan berkata, KMDI yang merupakan syarikat usahasama dengan kerajaan Pahang itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik selaku pemaju sehingga menyebabkan kontraktor dilantik menghadapi kerugian sehingga RM30 juta keseluruhan.
Dalam pada itu, Azjuriyahti berkata, dakwaan Jasri yang menyebut KMDI tidak membuat apa-apa bayaran kepada kontraktor terlibat dengan pembinaan Rumah Pahang adalah tidak benar.
Jelasnya, kes ini sudah dibawa ke mahkamah sebelum ini dan menunggu tarikh perbicaraan.
"Kita telah menyaman syarikat-syarikat kontraktor terbabit kerana menghentikan kerja-kerja pembinaan dan meninggalkan tapak serta tidak mematuhi syarat-syarat dalam surat setuju terima yang telah ditandatangan bersama sebelum syarikat-syarikat ini memulakan kerja-kerja mereka.
"Syarikat-syarikat terbabit juga telah melakukan tuntutan palsu yang tidak disahkan oleh mana-mana perunding bertauliah sebagai mana sepatutnya untuk mereka membuat sesuatu tuntutan terhadap kerja-kerja yang telah pun mereka lakukan,” katanya
Mengulas dakwaan KMDI tidak memulangkan kembali wang jaminan yang dibayar oleh syarikat-syarikat kontraktor, Azjuriyahti menjelaskan kenyataan itu memperlihatkan ADUN Kuala Sentul tidak memahami dengan apa yang diperkatakannya.
Menurutnya, wang jaminan hanya akan dikembalikan kepada syarikat-syarikat berkenaan setelah semua kerja yang sepatutnya mereka buat siap sepenuhnya.
"Dalam kes ini, disebabkan mereka gagal dalam mematuhi syarat-syarat surat setuju terima dan meninggalkan tapak-tapak projek tanpa menyiapkan kerja sepatutnya, wang jaminan yang dibayar akan diputuskan sama ada mereka berhak menerimanya atau sebaliknya.
"Untuk mendapatkan kembali wang jaminan dan bayaran terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini, perlu diserahkan kepada keputusan mahkamah nanti,” katanya.
Beliau mendakwa, KMDI mengalami kerugian ekoran kegagalan syarikat-syarikat yang disebut ADUN Kuala Sentul meninggalkan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan sebagai mana dipersetujui dalam surat setuju terima.
Katanya, pihaknya bersedia menerima apa-apa sahaja keputusan yang bakal dibuat mahkamah setelah kes ini selesai dibicara dan diadili.