SHAH ALAM - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menggesa semua pemilik tangki septik untuk menjalankan pengosongan tangki di premis sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali bagi memastikan ia berfungsi dengan baik selain mengelak pencemaran alam sekitar.
Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar, Pauzi Mohamed berkata, terdapat dua jenis sistem pembentungan utama yang diguna pakai bagi menyalurkan air kumbahan iaitu sistem perkhidmatan pembetungan bersambung air sisa kumbahan dari premis dan akan disalurkan terus ke loji rawatan kumbahan IWK melalui paip pembetungan bawah tanah, manakala sistem kedua ialah tradisional seperti tangki septik, tandas palong atau curah.
Menurutnya, tangki septik yang standard lazimnya berada di dalam kawasan premis dan mempunyai dua tiga hingga empat penutup logam berbentuk segi empat tepat.
Tambahnya, penyelenggaraan dan pengosongan tangki septik akan memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan baik bagi mengelakkan penyebaran penyakit bawaan air.
"Tangki septik adalah sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk merawat air kumbahan dan enapcemar secara sementara. Enapcemar yang memasuki tangki ini akan mendap ke dasar tangki dan air yang bersih di permukaan akan mengalir keluar ke longkang atau parit dan seterusnya ke sungai atau laut.
"Ini adalah proses biologi semula jadi yang lama-kelamaan, tangki tersebut akan penuh dan perlu dikosongkan.
"Tangki septik ini hanya boleh menyediakan sebahagian rawatan sahaja terhadap air sisa kumbahan yang mengalir ke dalamnya. Bayangkan apakah akan berlaku jika tangki septik tidak pernah dikosongkan atau diselenggara?
"Kegagalan untuk mengosongkan tangki septik secara berkala boleh mencemarkan alam sekitar dan seterusnya, mengancam kesihatan awam melalui pelepasan terus enapcemar setelah tangki penuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, menurut Ketua Wilayah Tengah Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar, Yusri Mohamed Yusop, mengikut Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.
Jelasnya, di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), kegagalan untuk mengosongkan tangki septik boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000.
Tambah beliau, IWK untuk terus mendekati masyarakat setempat dalam usaha mendidik orang awam mengenai kepentingan pengosongan tangki septik melalui sesi libat urus bersama komuniti.
"Diharapkan dengan maklumat yang diterima sepanjang program ini dapat memberi manfaat kepada mereka serta membuka mata tentang pentingnya pengosongan tangki septik ini,” ujarnya.