KUALA LUMPUR - Perkhidmatan aplikasi penstriman kandungan MYTV Mana-Mana kini diperluaskan kepada Infotainment Head Unit (IHU) bagi kenderaan Proton X series.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kemudahan yang merupakan hasil kerjasama MYTV, Aco Tech dan Proton ini mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri penyiaran negara dengan menyediakan akses mudah alih kepada siaran TV Digital MYTV melalui pelbagai peranti digital kepada rakyat.
Beliau berkata, inisiatif baharu MYTV itu memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi penyiaran negara, dengan capaian MYTV di platform terrestrial DTT kini mencecah 7.5 juta penonton.
"Seperti peralihan daripada cakera padat (CD) ke muzik digital, IHU adalah langkah seterusnya yang bakal menggantikan kaedah penerimaan siaran radio FM melalui radio frekuensi.
"Bagi mempelbagaikan perkhidmatan penyiarannya, MYTV kini maju selangkah dengan memperkenalkan perkhidmatan MYTV Mana-Mana menerusi IHU dalam kereta Proton X series, bermula dengan Proton X70,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Aplikasi MYTV Mana-Mana di IHU Proton di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV Broadcasting Mohamad Helmi Harith; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dan Ketua Pemasaran ACO Tech Sdn. Bhd, Allysha Juin.
Fahmi berkata, sebelum ini MYTV telah memperkenalkan platform MYTV Mana-Mana dalam kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang menawarkan pengalaman baharu kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) di koc kelas perniagaan untuk mengakses siaran TV Digital MYTV secara mudah alih.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran, Fahmi berkata,a terdapat kewajaran untuk memperluaskan aplikasi itu termasuk untuk pengguna di dalam pesawat.
"Saya akan cadangan perkara ini supaya pihak MYTV memulakan perbincangan dengan pihak syarikat penerbangan. Saya lihat ada kewajaran untuk memanfaatkannya,” katanya.
Beliau berkata, pihak MYTV dan Radio Komersial Malaysia (CRM) akan mengaturkan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk membincangkan penyediaan aplikasi ini dalam IHU kenderaan, termasuk kenderaan elektrik (EV). - Bernama