DALAM pemilihan barang digunakan seharian, yang halal pasti menjadi keutamaan kita memandangkan itu kewajipan ditetapkan oleh agama Islam.
Apabila memilih untuk makan, sudah tentu premis yang mempunyai logo halal menjadi tumpuan.
Namun ketika membeli keperluan diri yang lain, lazimnya kita akan ke kedai mahupun pasar raya.
Persoalannya, bolehkah kita umat Islam membeli barang di pasar raya yang ada menjual arak atau barangan bercampur antara halal dan haram?
Sebelum menghuraikan jawapannya, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menerusi hantaran dan infografik dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin mengajak kita untuk memahami tentang bab berurusan atau bermuamalah (jual beli) dengan orang kafir dan tempat-tempat yang haram.
Jabatan mufti itu memaklumkan, terdapat dua kategori dalam hal itu iaitu:
1. Jika diyakini aktivitinya benar-benar daripada hasil merompak atau kilang arak atau syarikat 100 peratus sumber haram, maka majoriti ulama tidak membenarkannya.
2. Sumber yang bercampur (seperti sesetengah pasar raya) iaitu bukan daripada aktiviti kerja atau syarikatnya 100 peratus dari sumber yang haram.
Dalam hal itu, dibenarkan umat Islam untuk membeli barangan di kedai tersebut.
Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA:"Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Ini kerana kita bukannya membeli barangan yang haram, tetapi jika ada pilihan, pergilah kedai yang tidak menjual barangan yang haram,” katanya.
Begitupun, bagi mereka yang bekerja di pasar raya yang turut menjual arak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, makruh hukumnya jika pendapatan yang diperoleh merupakan hasil jualan barang-barang yang halal dan haram.
"Menurut Syeikh Mulla Ali Al-Qari dalam Al-Mirqah Sharh al-Misykah ketika menghuraikan hadis riba menjelaskan ‘Mereka sama dari sudut mendapat dosa, tetapi berbeza daripada segi tingkatannya’,” katanya dipetik menerusi artikel Al-Kafi #509: Hukum bekerja di kedai serbaneka yang menjual arak di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan agar berusaha sebaik mungkin untuk memisahkan kaunter barangan yang halal dengan haram atau mengikut pekerja.
"Ini adalah tanggungjawab majikan yang prihatin terhadap kebajikan agama para pekerja Muslim.
"Kami juga mencadangkan agar carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa.
"Dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentulah ia menatijahkan lagi kebaikan dan keberkatan dalam hidup,” katanya.