'Butiran ada pada saya' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor belum mahu mendedahkan dalang yang dikatakan mahu menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini.

Beliau berkata, buat masa ini perkara itu menjadi rahsia antara dirinya dengan pihak terlibat.

"Saya tahu butiran perkara itu, ada dalam hati saya. Tetapi (buat masa ini) biarlah menjadi rahsia,” katanya di sini ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Iklan
Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin berkaitan sabotaj pelaburan di Kedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut siapa yang terlibat mahupun projek yang dimaksudkan turut mengalami nasib sama seperti pelaburan Langkasuka di Langkawi.

Muhammad Sanusi sebaliknya hanya melemparkan senyuman sinis apabila diminta untuk mengemukakan bukti atas dakwaan yang dibuat beliau semasa persidangan DUN pada Isnin.

Iklan

Pada Isnin, beliau mendedahkan wujudnya plot yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu merujuk kepada keputusan peneraju pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi namun tidak mendedahkan butirannya.

Iklan

Perkara itu didedahkan Muhammad Sanusi ketika sesi perbahasan dengan Teh Swee Leong (DAP- Kota Darulaman) yang meminta penjelasan mengenai keputusan pelabur swasta menarik diri selepas projek diumumkan kerajaan negeri, termasuk projek Langkasuka.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa Muhammad Sanusi mengemukakan bukti atas dakwaan beliau selain meminta penjelasan berkaitan perkara tersebut.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sekiranya Muhammad Sanusi gagal mendedahkan dalang yang dimaksudkan beliau, ia membuktikan dakwaan itu hanya helah untuk menutup kelemahan diri.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mencipta persepsi bagi mengaburi kegagalan kerajaan negeri dalam mengekalkan pengumuman pelaburan.

Sementara ADUN Kota Darulaman, Teh Swee Leong meminta Muhammad Sanusi menampilkan maklumat terperinci bagi menyokong dakwaan yang disifatkan sebagai persepsi dan tanpa asas yang kukuh.