'Kerajaan tak pernah sabotaj pelaburan ke Kedah' - Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul. Foto Bernama

SHAH ALAM - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan kerajaan mensabotaj pelaburan yang dibawa ke Kedah.

Malah beliau menegaskan, telah banyak pelabur dibawa masuk kerajaan ke negeri itu termasuk yang terkini, nilai pelaburan mencecah RM2.16 bilion oleh Hyundai Motor Company (HMC).

Iklan
Iklan

"Susulan pertemuan bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Korea, HMC telah mengumumkan pelaburan tambahan RM2.16 bilion di Kulim.

"HMC merancang untuk menjalankan pemasangan kenderaan tempatan, termasuk model EV (kenderaan elektrik) di Kulim.

Iklan

"Syarikat itu juga akan menghasilkan model premium dan mewah yang disasarkan untuk pasaran ASEAN (dengan) pengeluaran dijangka akan bermula pada pertengahan 2025," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Muhammad Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mendakwa, syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan agar mereka menarik diri daripada projek yang diumumkan.

Iklan

Sebagai contoh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, keputusan konglomerat Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion, tanpa mendedahkan punca penarikan.

Dalam pada itu Tengku Zafrul menjelaskan, kerjasama kerajaan Malaysia dan HMC turut merangkumi pengembangan ekosistem EV tempatan dengan penekanan kepada teknologi bateri EV berinovasi tinggi.

"Pelaburan tambahan Hyundai akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030).

"Komitmen Hyundai juga akan mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia dan mencipta lebih banyak pekerjaan tambahan bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menyokong operasi mereka," jelasnya.