KOTA KINABALU - Hari Sabah dan sejarah berkaitan dengannya akan dimasukkan dalam silibus pendidikan melalui citra Sabah selepas dipersetujui dan diluluskan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, hasil pertemuannya dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, membawa kepada keputusan yang telah dimuktamadkan bersama.
"Semua permohonan kita telah diluluskan bersama dengan Menteri Pendidikan serta ahli jawatankuasa yang lain, antaranya berhubung dengan kos untuk bajet atau peruntukan bagi keperluan segera.
"Selain itu, citra Sabah juga akan dimasukkan dalam kurikulum pendidikan dan ini juga dipersetujui, maksudnya berkaitan dengan Hari Sabah dan sebagainya.
"Ia dimasukkan di mana yang sesuai sama ada dalam silibus sekolah rendah atau sekolah menengah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di Wisma Bandaraya, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pertemuan beliau dengan Fadhlina Sidek dalam mesyuarat baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Arifin bagaimanapun berkata, perkara itu akan diperincikan dalam Jawatankuasa Teknikal di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi kluster pendidikan.
"Ini kita akan perincikan dalam jawatankuasa yang mana perlu dimasukkan, sebenarnya ada juga tentang Sabah cuma kita minta ada yang belum dimasukkan dalam kurikulum berkenaan.
"Contohnya Hari Sabah belum ada. Perkara ini akan kita kemukakan dulu apa yang kita perlu masukkan menerusi jawatankuasa tersebut," katanya.