SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan perlu memberi keutamaan kepada akses jalan yang berkualiti bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani kos sara hidup dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) berkata, apabila menyentuh berkenaan masyarakat Orang Asli, secara tidak langsung ia terkait dengan soal pertanian.
"Inilah kehidupan mereka sejak dahulu, jika kita mahu bantu ekonomi mereka, kita perkasakan soal pertanian. Insya-ALLAH taraf kehidupan mereka akan lebih baik.
"Bagaimanapun ada sesetengah kawasan pertanian Orang Asli ini, tidak dihubungkan dengan jalan pertanian yang baik sehingga mereka tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sembilan ke-15 di sini pada Selasa.
Katanya, kekurangan akses jalan sering dijadikan alasan peraih yang mengambil kesempatan membayar rendah ketika membeli hasil jualan mereka termasuk getah, buah-buahan dan petai.
Dalam pada itu, ketika sesi yang sama, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) pula mencadangkan agar pemodenan kursus-kursus dalam Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Tindakan tersebut boleh membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran, selain melahirkan komuniti yang lebih cekap serta berdaya saing dalam era internet yang pantas ini.
"KEMAS sebagai institusi penting dalam membina kapasiti rakyat di peringkat akar umbi mesti melangkah seiring, dan sebagai sebuah negeri yang sedang berkembang pesat Negeri Sembilan juga tidak boleh tertinggal dalam arus digitalisasi dunia ini," katanya.
Sementara itu, Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) memohon kerajaan negeri melihat perkembangan status produk pelancongan Muzium Kereta Api lama Gemas.
"Perancangan semasa pembinaan Muzium Kereta Api Lama, adalah sebagai satu tarikan baru pelancongan dengan menyajikan pameran barang-barang berkaitan keretapi, tempat riadah keluarga dan tempat santai untuk minum petang.
"Bagaimana muzium ini dapat menarik minat para pelancong untuk berkunjung kerana tiada barang pameran di sini hanya terdapat kepala gerabak keretapi sahaja?
"Gemas hari ini memohon bantuan ADUN Chennah merangkap Menteri Pengangkutan untuk meminta pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) meletakkan bahan pameran di lokasi berkenaan sekali gus menjadi tarikan pelancongan di situ," katanya yang difahamkan muzium itu adalah hak milik RAC tetapi diserahkan kepada Majlis Daerah Tampin untuk dijaga dan dipelihara.