Bin Zayed tarik diri projek Langkasuka, tak jejas pelancongan Langkawi

Iklan
Mohd Suhaimi

ALOR SETAR - Penarikan diri pelabur Bin Zayed International (BZI) daripada projek Langkasuka di Langkawi tidak akan menjejaskan pelancongan sedia ada di pulau lagenda itu.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, ini kerana Langkawi sudah memiliki tarikan semula jadi tersendiri yang lebih menjadi keutamaan seperti keunikan pantai, laut dan gunung-ganang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pulau pelancongan tersebut tidak perlu bergantung kepada mana-mana projek mewah untuk menggamit kehadiran pengunjung.

"Sebelum ini pun projek kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikenali sebagai 99 East juga tidak menjadi kenyataan namun ia tidaklah menjejaskan Langkawi.

Iklan

"Langkawi berdiri sendiri melalui produk pelancongan, fasiliti dan kemudahan mesra pelancong. Ia tidak sama sekali terjejas dengan penarikan diri BZI,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Jumaat, konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Iklan

Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, mereka memutuskan menarik diri sejak 2022 untuk memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar.

Pada 2021, Widad Business Group Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BZI untuk membantu membangunkan pembangunan bercampur RM40 bilion dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Mohd Suhaimi berkata, sekiranya projek Langkasuka dibangunkan dengan jayanya, ia berpotensi memberi nilai tambah kepada Langkawi.

"Nilai tambah itu boleh diganti dengan projek lain yang sama skalanya.

"Selaku wakil rakyat Langkawi, saya mohon supaya syarikat Widad atau syarikat yang berkaitan membuka ‘construction hoarding’ atau penimbunan pembinaan yang membuatkan pemandangan pelancong kurang enak ketika mereka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi,” katanya lagi.