13 termasuk kakitangan pejabat tanah ditahan, kes tipu pindah milik tanah

Iklan
Ramli

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan pindah milik tanah melibatkan sindiket dan kartel dalam sebuah pejabat tanah daerah di Selangor.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dilakukan susulan laporan yang diterima daripada seorang Penolong Pegawai Daerah pada awal bulan ini.

Iklan
Iklan

"Pengadu mengesan beberapa transaksi pindah milik tanah yang mencurigakan dan dilakukan secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini pada Selasa.

Ramli berkata, pengadu turut melaporkan terdapat kehilangan dokumen penting termasuk borang pindah milik tanah daripada bilik kebal pejabat tanah.

Iklan

"Hasil siasatan polis mendedahkan wujudnya sindiket dan kartel yang mengeksploitasi sistem pejabat tanah untuk melaksanakan pindah milik tanah secara haram.

"Sindiket ini dipercayai memadam serta menghilangkan rekod-rekod penting bagi melancarkan kegiatan mereka,” katanya.

Iklan

Ramli berkata, pihaknya telah menahan 13 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita tempatan berusia antara 26 hingga 59 tahun.

"Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada kakitangan awam dan orang luar dipercayai terlibat dengan sindiket disiasat," katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu oleh JSJK dalam usaha membanteras jenayah komersial yang semakin berleluasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tegas beliau, JSJK komited untuk memerangi kegiatan jenayah komersial seperti ini yang bukan sahaja menjejaskan individu, tetapi turut menggugat integriti sistem pentadbiran tanah negara.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Ringkasan berita:

  • JSJK Bukit Aman buka siasatan kes penipuan pindah milik tanah melibatkan sindiket di pejabat tanah Selangor.
  • Siasatan bermula selepas laporan Penolong Pegawai Daerah yang mengesan transaksi pindah milik tanah mencurigakan.
  • Pengadu juga melaporkan kehilangan dokumen penting, termasuk borang pindah milik tanah.
  • Sindiket didakwa mengeksploitasi sistem pejabat tanah untuk pindah milik tanah secara haram dan memadam rekod penting.
  • Polis telah menahan 13 individu (7 lelaki, 6 wanita) berusia 26 hingga 59 tahun, termasuk kakitangan awam dan orang luar.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
  • JSJK komited membanteras jenayah komersial yang mengancam sistem pentadbiran tanah negara.
Dijana oleh AI