KLANG - Polis menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai diculik dan memberkas tujuh individu termasuk dua wanita pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa menyatakan anaknya keluar rumah jam 4 petang dan tidak pulang sehingga jam 6.30 petang.
Beliau berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun menerima pesanan suara yang menimbulkan persoalan mengenai keberadaan mangsa.
Ekoran itu kata beliau, bapa mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.
"Pesanan suara yang diterima meminta pengadu untuk mengambil mangsa di kawasan Subang dan anaknya ketika itu bertengkar dengan seorang lelaki dipercayai suspek.
"Menerusi lokasi kedudukan mangsa yang dihantar, bapa kepada remaja perempuan itu telah ke lokasi diberikan tetapi mangsa tiada di kawasan terbabit.
Ringkasan berita:
- Polis menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai diculik pada 18 November lalu di Klang.
- Bapa mangsa membuat laporan polis selepas anaknya keluar rumah dan tidak pulang, serta menerima pesanan suara mencurigakan.
- Pesanan suara menyatakan mangsa berada di Subang dan kemudian di Kuala Lumpur, dengan suspek mengugut untuk menjual mangsa jika tidak dibayar ganti rugi.
- Polis melakukan serbuan di pangsapuri I-City, Shah Alam, pada 18 November dan menyelamatkan mangsa serta menahan lima suspek (tiga lelaki dan dua wanita).
- Tangkapan susulan dilakukan di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, pada 19 November, menangkap dua lagi suspek lelaki.
- Semua suspek berusia 15 hingga 19 tahun dan tiada rekod jenayah lampau.
- Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, dan permohonan reman terhadap empat suspek berusia bawah 18 tahun telah dibenarkan.
- Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai diminta tampil memberi maklumat.
"Pengadu seterusnya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan suspek akan melepaskan mangsa di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 18 November jam 11 malam.
Dalam serbuan itu, katanya, polis berjaya menyelamatkan mangsa dalam keadaan selamat dan menahan tiga suspek lelaki serta dua wanita berusia 15 hingga 19 tahun.
Beliau berkata, menerusi serbuan pertama itu, tangkapan susulan dibuat pada 19 November jam 1.10 pagi di pekarangan Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Kata beliau, dua suspek lelaki berusia 16 dan 18 tahun telah ditangkap dalam tangkapan kedua itu.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana mengambil atau memikat kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah," ujarnya.
Tambahnya, permohonan reman telah dibenarkan selama sehari terhadap empat suspek berusia 18 tahun ke bawah, manakala suspek lain direman selama empat hari sehingga 22 November lalu.
Katanya lagi, semua suspek telah dijamin dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut untuk tampil membantu siasatan.
"Mereka boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222," ujarnya.