Warga tempatan didenda lebih RM150,000 lindungi PATI

Iklan
Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam operasi yang dijalankan di Terengganu Foto FB Jabatan ImigresenTerengganu. Gambar kecil: Mohd Yusri

KUALA TERENGGANU - Seramai 22 warga tempatan didenda RM152,500 selepas didapati bersalah melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, kesemua warga tempatan yang juga majikan itu didapati bersalah dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55E, Akta Imigresen 1959/63.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesalahan itu dikesan dalam tempoh 10 bulan sepanjang tahun ini.

"Seramai 46 majikan warga tempatan dipanggil untuk diambil keterangan dalam siri serbuan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.

Iklan

"Daripada jumlah itu, 22 majikan itu didapati bersalah kerana melindungi dan membenarkan PATI berada dalam premis ketika operasi dilakukan," katanya pada majlis mesra media di JIM negeri, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan), Mat Amin Hassan dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Safri Husnaini Mohamad.

Iklan

Mohd Yusri berkata, JIM negeri mengadakan sebanyak 815 operasi di seluruh negeri dalam tempoh 10 bulan bermula Januari lalu.

Katanya, seramai 7,306 warga asing diperiksa dan 1,306 dikenakan tindakan atas kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal melebihi masa.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya akan terus mengaktifkan dan menggandakan operasi PATI sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

"Operasi di beberapa lokasi termasuk premis perniagaan dan tapak projek pembinaan akan digandakan sepanjang MTL yang melanda negeri ini.

"Operasi itu akan diaktif dan digandakan bagi mengambil tindakan ke atas PATI yang mengambil kesempatan menyelinap masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah," katanya.

Jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Malaysia pada tahun 2024:

  • Lebih 40,000 PATI telah ditahan setakat tahun 2024.
  • Operasi dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi penguatkuasa lain.
  • Pemeriksaan dilakukan di tempat kerja, lokasi pembinaan, dan kawasan berisiko tinggi.
  • Angka ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam menangani isu PATI.
Dijana oleh AI