Malaysia sedia perkukuh kerjasama dengan Korea Selatan dalam perkara lebih substantif - PM

Iklan
Anwar ketika sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan pada Selasa. Foto Bernama

SEOUL - [DIKEMAS KINI] Malaysia berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dengan Korea Selatan dalam perbincangan yang lebih substantif, termasuk digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan Korea Selatan selama lebih enam dekad tanpa sebarang isu atau kontroversi.

Iklan
Iklan

"Saya percaya kita akan teruskan lagi kerjasama ini. Saya yakin Presiden (Yoon Suk Yeol) pastinya akan menyokong bukan sahaja melalui Memorandum Persefahaman (MoU), tetapi juga dalam perbincangan yang lebih substantif, termasuk mengenai digitalisasi dan AI untuk saling memberi manfaat.

"Dan saya percaya dalam bidang pencapaian akademik tertentu, kita pasti dapat memperoleh lebih banyak manfaat daripada Korea," katanya dalam ucapan khas bertajuk 'Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia' di Seoul National University, di sini pada Selasa.

Iklan

Anwar kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Korea Selatan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan, bersempena ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2025.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau berasa amat tersentuh dengan kenyataan Presiden Yoon semalam mengenai hubungan antara kedua-dua negara pada masa lampau.

Iklan

"Beliau (Presiden Yoon) berkata bahawa pada fasa awal pemulihan semula Korea selepas berdekad-dekad menghadapi pergolakan, kesukaran akibat peperangan, dan perang saudara, Malaya yang kecil ketika itu mengambil keputusan untuk menyokong sebuah negara yang baru merdeka dengan cara sederhana, iaitu membantu membina sebuah jambatan kecil (di wilayah Paju), yang kini dikenali sebagai Jambatan Malaysia.

"Ia menyentuh hati saya, kerana walaupun Korea kini merupakan sebuah negara dengan ekonomi yang hebat dan pembangunan teknologi perindustrian yang berjaya, presidennya tetap menunjukkan kerendahan hati dengan mengakui peranan kami, Malaya (kini Malaysia), sebagai rakan sejati Korea. Sebab itulah saya percaya kita akan terus mengembangkan kerjasama ini," katanya.

Sementara itu, Anwar turut memuji usaha Seoul National University dalam mempelopori inovasi bidang-bidang baharu seperti Pengajian Masa Hadapan, Sains Sosial dan Pengajian Asia.

Beliau menyifatkan penubuhan sebuah institut khas untuk Pengajian Masa Hadapan sebagai pencapaian luar biasa universiti tersebut.

"Kebetulan saya juga mencadangkan kepada satu daripada universiti kita, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk menubuhkan Institut Pengajian Masa Hadapan. Dengan itu, kedua-dua institusi ini boleh bekerjasama.

"Ini mencerminkan kejayaan luar biasa serta tahap kepakaran universiti ini yang bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan akademik tetapi juga terus memikirkan semula masa depan pendidikan dengan memperkenalkan bidang-bidang baharu yang tidak pernah dipertimbangkan sebelum ini.

"Saya sememangnya menanti kerjasama lanjut dalam bidang ini," katanya. - Bernama