SHAH ALAM - Malaysian Industrial Safety and Health Association (MiSHA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneroka peluang kerjasama dalam bidang tertentu dengan University of Business and Technology (UBT) Jeddah, Arab Saudi.
kolaboratif itu diperkukuhkan menerusi lawatan rasmi MiSHA dan UTM ke UBT bagi mempertingkat hubungan menerusi pendidikan tinggi teknikal dan vokasional, penyelidikan dan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).
Ketua Unit Visa, UTM International, Noor Azam Samsudin berkata, lawatan itu dilihat dapat mengukuhkan dan mempertingkat hubungan antara universiti dan industri.
"Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan meneroka aspek teknikal demi mempertingkatkan amalan keselamatan di tempat kerja di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Noor Azam memberitahu, ruang kerjasama itu bukan hanya memberi peluang untuk berkongsi kepakaran dalam pengurusan keselamatan pekerjaan, tetapi juga mengembangkan pendekatan inovatif dalam menyelesaikan masalah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang semakin kompleks.
"Di dalam rangka lawatan ini juga, agenda pengurusan visa pelajar antarabangsa juga turut dibincangkan.
"Pihak UTM sentiasa komited untuk memudahcara pengurusan visa penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dari UBT supaya pengurusan visa pelajar ini berjalan dengan lancar,” ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama itu juga membolehkan UTM berkongsi kepakaran dan membangunkan penyelesaian lebih baik dalam mengurangkan risiko di tempat kerja.
"Kami berharap ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua universiti serta sektor industri di Malaysia dan Arab Saudi.
"Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi juga membuka peluang untuk mempertingkatkan budaya keselamatan di tempat kerja secara global.
"Dengan sumbangan MiSHA dalam menyediakan perkhidmatan konsultansi, latihan, dan audit keselamatan, usaha ini dijangka akan memberi impak yang besar kepada sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh dunia," tambahnya.
Pengerusi MiSHA, Abdul Mutalib Abd Gapar berkata, UBT adalah sebuah universiti yang menekankan aspek praktikal dan suasana sebenar di alam pekerjaan di samping ilmu terkini sentiasa diberi nilai tambah sesuai keperluan semasa dalam industri.
Lebih menarik, katanya, UBT juga merupakan sebuah institusi pelajaran yang sangat menekankan tahap keselamatan pelajar dan kakitangan mereka.
"Oleh itu, kami ingin memberikan pengiktirafan kepada usaha mereka dengan mencalonkan anugerah bagi kategori MiSHA Excellence Award on OSH Risk Management in University 2024 yang pastinya akan memberi inspirasi kepada institusi pendidikan lain di seluruh dunia," ujar beliau.