Samun guna pistol polis: KP Perak arah siasatan dalaman

Iklan
Walter P99 seorang koperal dilaporkan tercicir ketika anggota berkenaan bertugas di Tanjung Rambutan pada 15 Januari lalu sebelum ia ditemui digunakan penjenayah untuk merompak sebuah hotel pada hari sama. Gambar hiasan.

IPOH - Polis akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes samun di sebuah hotel melibatkan sepucuk pistol milik seorang anggota polis pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati pistol jenis Walter P99 itu dilaporkan tercicir ketika anggota berkenaan bertugas di Tanjung Rambutan pada 15 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anggota berpangkat koperal terbabit melaporkan kehilangan senjata itu pada hari yang sama.

"Kita masih lagi menyiasat kehilangan pistol tersebut dan dari segi siasatan dalaman adalah di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.

Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan serah terima tugas Ketua JSJN Perak antara Ravi Chandran kepada Lee King Chuan hari ini.

Razarudin berkata, dalam kejadian samun itu dua lelaki bertindak mengacukan sepucuk pistol ke arah pekerja kaunter wang di sebuah hotel di Menglembu pada jam 4.10 pagi.

Iklan

Katanya, polis yang membuat rondaan berjaya menahan kedua-dua suspek di kawasan Sungai Senam tidak sampai satu jam selepas laporan diterima.

"Dalam tangkapan itu, kita turut merampas sepucuk pistol iaitu senjata sama seperti dilaporkan tercicir oleh seorang anggota polis.

"Tiada sebarang tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan kerugian hanya melibatkan wang tunai lebih RM500," katanya.

Dua penjenayah masing-masing berusia 20 dan 27 tahun itu didakwa di mahkamah pada 6 Februari lalu di bawah Seksyen 392 dan 411 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Asisten Komisioner, Lee King Chuan dilantik sebagai Ketua JSJN Perak yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner V R Ravi Chandran yang dianikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.