Papan tanda iklan: Tak wajar masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa

Iklan
Ismail Sabri.

SHAH ALAM - Mana-mana pihak tidak sewajarnya masih terperangkap dengan retorik pertikaian bahasa kerana sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

Justeru, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai tiada pilihan untuk tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan pada papan tanda atau apa-apa urusan di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurut ahli Parlimen Bera itu, penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda iklan tidak menjejaskan kemasukan pelancong sama sekali.

"Sebagai contoh, Thailand yang menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya, tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.

Iklan

"Saya mencadangkan tindakan lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan meremehkan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini.

"Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana memang jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada 12 Oktober lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan tempoh selama 14 hari kepada lima pemilik premis untuk menurunkan papan iklan tulisan Cina sekitar Jalan Imbi di ibu kota.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, kesemua premis itu didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan Bahasa Kebangsaan pada papan iklan.

Kontroversi tersebut mendapat kritikan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kerana beliau berpandangan, isu-isu sedemikian perlu dihentikan segera.

Jelasnya, ia mampu merosakkan imej Malaysia sebagai negara berbilang budaya dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.

Bagaimanapun, reaksi King Sing berhubung perkara berkenaan turut mendapat kecaman hebat daripada orang awam, tokoh bahasa dan ahli politik.

Sementara itu, Ismail Sabri menzahirkan ucapan tahniah buat DBKL kerana mengambil tindakan tegas dengan menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota seperti mana dilaporkan media baru-baru ini.

Tambahnya, langkah sedemikian wajar dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

"Sudah tiba masanya seluruh PBT menggunakan Bahasa Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang meremehkannya," ujar beliau.