KKM, JPA digesa gugur pelaksanaan waktu kerja 45 jam - UNI-MLC

Iklan
Cadangan melanjutkan waktu kerja penjawat awam disifatkan tidak wajar dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik kualiti kehidupan pekerja.

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menggugurkan pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu dengan segera.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, cadangan melanjutkan waktu kerja penjawat awam disifatkan tidak wajar dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik kualiti kehidupan pekerja.

Iklan
Iklan

"Tatkala Kerajaan Madani mahu menitikberatkan kakitangan awam menerusi pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini, langkah melaksanakan tempoh waktu kerja iaitu tambahan tiga jam tidak wajar dilaksanakan sama sekali.

"Banyak negara telah dan sedang mengkaji untuk membawa pendekatan yang lebih fleksibel dan harmoni dalam usaha menambah baik hak pekerja masing-masing dengan mengurangkan tempoh waktu kerja dan berada di pejabat.

Iklan

"Jadi, sebarang langkah mahu memanjangkan waktu kerja terutama di sektor kesihatan tidak wajar dipertimbang dan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, keputusan menambah jumlah waktu bekerja itu dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan SSPA.

Iklan

Pekeliling tersebut menyatakan jumlah jam bekerja bagi waktu bekerja bukan pejabat ditambah baik dengan menyamakan dengan jumlah jam waktu bekerja pejabat iaitu 45 jam seminggu berbanding 42 jam termasuk rehat.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, sebarang langkah menjurus ke arah pelaksanaan itu bertentangan dengan trend global yang mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam seminggu, seperti dinyatakan dalam Konvensyen ILO 47 dan Konvensyen ILO 116.

Ujarnya, UNI-MLC bimbang perkembangan terbaharu tersebut akan membawa kesan buruk atau impak ke atas pekerja, sekali gus dikhuatiri tidak membawa manfaat yang disasarkan kerajaan.

"Lebih-lebih lagi ketika pekerja Malaysia turut berhadapan dengan isu tekanan mental dan kualiti kehidupan. Oleh itu, UNI-MLC memohon campur tangan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.

"Ia sebagai inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian terbaik iaitu menggugurkan keputusan lanjutan tempoh waktu kerja. Kerajaan perlu mengkaji kaedah lain termasuk menambah jumlah kakitangan awam jika berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja dalam menyediakan mutu perkhidmatan berkualiti kepada rakyat," katanya.