Parlimen: Bayaran insentif bomba sudah tidak relevan - Suhaimi

Iklan
Suhaimi

KUALA LUMPUR - Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mencadangkan kerajaan di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat menambah baik elaun dan kebajikan melibatkan anggota bomba sejajar dengan tugas dan risiko yang dihadapi ketika melakukan operasi.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah melaksanakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) namun masih terdapat elaun khusus bagi anggota bomba yang tidak pernah ditambah baik sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

"Bayaran elaun seperti bayaran insentif bomba pada kadar RM110 bagi 12 jam tidak lagi relevan dan dinaikkan sesuai dengan keadaan semasa.

"Elaun perkhidmatan bomba pada kadar RM200 serta elaun Operasi Hazmat pada kadar RM30 bagi setiap operasi adalah amat tidak sesuai dengan risiko yang ditanggung," katanya ketika membahaskan belanjawan bagi Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai hal ehwal seperti tuntutan bagi cuti ganti kepada anggota yang telah bertugas lebih daripada 12 jam dan gantian kepada cuti am tidak lagi diberikan kepada anggota bomba.

"Perkara sebegini adalah tidak wajar memandangkan mereka ini perlu mendapatkan rehat ataupun ganti yang sewajarnya dalam memastikan mereka berada pada kondisi yang optimum untuk menjalankan tugasan.

Iklan

"Kerajaan memerlukan perbelanjaan yang mampan dan efektif tetapi jangan sampai kebajikan anggota keselamatan kita dikorbankan," katanya.

Sebelum itu, beliau turut mencadangkan supaya sebuah balai bomba diwujudkan di bawah parlimennya memandangkan balai bomba sedia ada ketika ini terpaksa menyelia tiga kawasan parlimen di Sandakan.

Menurutnya, pembinaan bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah memperuntukkan sebanyak RM5.695 juta bagi tahun 2025.

"Sandakan merupakan sebuah daerah yang besar yang mana terdapat Parlimen Libaran, Parlimen Sandakan dan juga Parlimen Batu Sapi di dalam daerah tersebut.

"Namun, terdapat hanya sebuah balai bomba yang beroperasi untuk mengawal selia tiga parlimen tersebut iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

"Saya ingin mencadangkan agar peruntukan di bawah butiran ini dapat ditambah bagi menyediakan sebuah balai bomba yang baharu di kawasan Libaran bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk terjamin," katanya.