Lawatan rasmi Anwar ke Korea Selatan jana potensi pelaburan RM32.8 bilion

Iklan
Anwar (kiri) mengadakan pertemuan dengan Samsung sempena lawatan rasmi beliau ke Korea Selatan pada Selasa. Foto Bernama

SEOUL - Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan yang berakhir hari ini menjana potensi pelaburan bernilai RM32.8 bilion kepada Malaysia.

Bercakap kepada pemberita pada akhir lawatan itu, beliau berkata, lawatan tersebut bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah juga membuka ruang dan peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia ketika pertemuan dengan kalangan syarikat besar negara itu.

Iklan
Iklan

Selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol semalam, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa konglomerat Korea Selatan, termasuk yang dikenali sebagai chaebol (tokoh korporat) atau konglomerat milik keluarga, yang secara tradisinya menikmati hubungan rapat dengan kerajaan Korea Selatan.

Pertemuan itu melibatkan syarikat termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO.

Iklan

"Setakat ini, potensi pelaburan adalah sebanyak RM32.8 bilion dan potensi eksport Malaysia (ke Korea Selatan) sebanyak RM1.3 bilion,” kata Anwar di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Hyundai Motor mengumumkan pelaburan baharu bernilai AS$479 juta di Malaysia bagi tempoh enam tahun, menerusi perkongsian strategik bersama Inokom bagi pemasangan automotif untuk beberapa model baharu di Malaysia tahun depan.

Iklan

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia pula ialah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan.

Bagi 10 bulan tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM91.1 bilion (AS$19.8 bilion).

Turut mengiringi Anwar semasa lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Bernama