KOTA KINABALU - Seorang ibu tidak menyangka aduan sakit kaki dan kebas merupakan panggilan terakhir yang diterima sebelum anak perempuannya yang berada di Korea Selatan itu menghembuskan nafas terakhirnya pada Ahad lalu.
Hanalin Datu Harun, 39, yang sempat dihantar ke Hospital Asan Chungmu di Wilayah Chungcheong Selatan bagi mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia oleh doktor di sana.
Menurut adiknya, Normah, 36, mereka tidak tahu bahawa kakaknya itu sudah hampir seminggu sakit termasuk mengalami demam ketika berada di negara tersebut.
"Sepanjang minggu lalu arwah kakak ada berhubung dengan ibu saya dan dia ada mengadu mengalami sakit kaki dan kebas. Menurut adik saudara saya yang berada di sana, keadaan kesihatannya telah merosot dan kerap demam.
"Tetapi pada hari Ahad lalu, keadaannya semakin lemah dan badannya turut kejang. Adik saudara saya cuba mendapatkan bantuan ambulans untuk dibawa ke hospital dan sepanjang perjalanan arwah kakak sempat diberi rawatan termasuk bantuan oksigen dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
"Bagaimanapun, sekitar jam 6 petang pihak hospital telah mengesahkan dia telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya lagi, mereka sekeluarga termasuk ibunya mahu jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Suangon Kinarut, Papar.
"Sekarang jenazah masih berada di hospital dan ketika ini kami sekeluarga dimaklumkan kos untuk membawa jenazah pulang dengan menaiki penerbangan sangat tinggi dan dianggarkan sekitar RM40,000 termasuk bil hospital.
"Setakat ini kami cuma berjaya mengumpul wang sebanyak RM15,000 dan kini sedang mencari baki selebihnya supaya jenazah dapat segera diterbangkan ke sini," katanya.
Susulan daripada itu, Normah dan keluarganya mengharapkan ihsan daripada orang ramai untuk pengumpulan dana bagi membawa jenazah kakaknya pulang.
Sumbangan boleh disalurkan terus melalui akaunnya yang bernombor 7636977293 melalui bank CIMB atau waris mereka di Korea Selatan, Razuan Melin di akaun bernombor 67891038792107 melalui Bank Hana.
Orang ramai juga boleh berhubung terus dengannya di talian 016-6082363 untuk sebarang maklumat lanjut.