Skim sewa untuk beli diteruskan bagi PRR

Iklan
Nga Kor Ming. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Skim sewa untuk beli (Rent-to-Own) (RTO) akan diteruskan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dilancarkan tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, pelaksanaan skim RTO yang ditawarkan kepada pemohon atau bakal pembeli yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan, sebagai usaha proaktif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggalakkan pemilikan rumah secara berperingkat.

Iklan
Iklan

"Melalui skim ini, ia juga membuka ruang untuk golongan muda yang baru bekerja memiliki rumah dengan cara menyewa dalam tempoh masa tertentu dan kemudian boleh memilih membeli rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPKT di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Kor Ming berkata, KPKT juga menyediakan pelbagai inisiatif antaranya Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan kerajaan memberi jaminan had pembiayaan hingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama untuk rakyat tanpa pendapatan tetap serta berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, Kempen Pemilikan Rumah 2.0, iaitu pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan untuk pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah, berlangsung hingga 31 Disember 2025.

Iklan

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, setakat 30 September lepas, sebanyak 25,903 unit Kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dijual dan 19,909 unit atau 76.9 peratus dimiliki golongan belia.

Beliau berkata, sejumlah 44,983 unit atau 65 peratus daripada 69,205 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina turut dimiliki golongan itu.

Selain itu, 25,030 daripada 41,671, iaitu 60.1 peratus daripada unit RMM yang dibuka untuk jualan oleh PR1MA dimiliki golongan belia dan ia tidak termasuk projek usaha sama yang dilaksanakan PR1MA. - Bernama


KPKT bina, baik pulih 5,000 unit rumah sejak 2023

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan pembinaan baharu dan membaik pulih 5,000 unit rumah sejak 2023.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan, melibatkan peruntukan sekurang-kurangnya RM91.15 juta, dengan RM40.81 juta pada tahun lepas dan meningkat kepada RM50.34 juta tahun ini.

"Bagi tahun 2025, Kerajaan Madani akan memperuntukkan hampir RM60 juta untuk tujuan membaik pulih rumah usang dan daif, serta membina rumah baharu bagi mengatasi kemiskinan bandar.

"Melalui visi Shelter for All, KPKT bersama agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) giat merealisasikan usaha membina dan membaik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan menjadi bukti dedikasi Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap rakyat mempunyai kediaman yang selamat dan selesa.

Pada Ahad lepas, Kor Ming melakukan tinjauan ke rumah-rumah usang dan daif di Menglembu, Perak serta bertemu seorang warga emas Law Chee Yau, 80, yang menerima manfaat berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan Chee Yau yang ditemui bersama isterinya mengucapkan terima kasih kepada Kor Ming dan memberitahu mereka berpuas hati dengan reka bentuk rumah yang diberikan oleh SPNB, selain melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Madani.

Kor Ming berkata, rumah baharu untuk Chee Yau dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua bulan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina 2025.

"Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berkeperluan, tetapi juga menjadi lambang komitmen berterusan KPKT dalam mengangkat martabat kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama