Kementerian komunikasi sambut baik cadangan wujudkan aplikasi MYRadio - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi menyambut baik cadangan Radio Komersial Malaysia (CRM) supaya satu platform penstriman radio atau MYRadio seperti platform MYTV, diwujudkan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu beliau berkata, pihak kementerian bersedia berbincang dengan pihak berkaitan dan mengambil kira aspek pembayaran royalti lagu kepada pemuzik, malah kementerian juga amat cakna dalam isu berkaitan royalti.

"(CRM) memang mengharapkan supaya ada satu aplikasi yang khusus dapat dibangunkan dan saya melihat mungkin (diwujudkan) di bawah MYTV, sekiranya ada MYRadio (aplikasi khusus), maka aplikasi tersebut mudah untuk dimanfaatkan.

"Sekiranya aplikasi itu tidak membayar royalti kepada badan berkaitan, ini akan menimbulkan satu masalah terutama bagi pemuzik tempatan. Jadi saya lihat ada keperluan untuk kita meneliti aplikasi ini di pihak kementerian.

"Kita harap dalam masa yang tidak terlalu lama dapat dibangunkan aplikasi baharu iaitu MYRadio,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran aplikasi penstriman MYTV Mana-Mana ke dalam sistem radio IHU Proton X70 di ibu negara, hari ini.

Menerusi aplikasi MYTV Mana-Mana, pengguna Proton X70 boleh mengakses pelbagai kandungan hiburan melalui unit radio IUH atau Infotainment-Head-Unit dengan sambungan Internet yang tersedia dalam kenderaan tersebut. - Bernama