KUALA LUMPUR - Demi minat dalam bidang kewartawanan, seorang pesakit buah pinggang sanggup menahan kesakitan dan keletihan selepas menjalani rawatan dialisis setiap tiga kali seminggu.
Wartawan Sinar Harian Biro Kedah, Roshila Murni Rosli berkata, walaupun pekerjaan tersebut mencabar dan memerlukan ketahanan diri yang tinggi, beliau tetap memberikan hasil kerja yang terbaik.
"Alhamdulillah saya dikelilingi rakan-rakan wartawan yang memahami dan memberi ruang jika terpaksa berhimpit dengan wartawan lain ketika bertugas.
"Saya tahu bidang ini agak mencabar dan kita perlu lasak, tetapi ada masa saya kena tahan diri untuk bertenang serta tidak terlalu agresif," katanya selepas menerima sumbangan bersama 12 pengamal media lain sempena program Bank Simpanan Nasional (BSN) Care dengan kerjasama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) pada Selasa.
Roshila Murni memaklumkan, sebelum ini beliau turut disahkan mengalami gangguan kebimbangan sehingga mengakibatkan tekanan darah tinggi melampau.
Bagaimanapun, katanya lagi, beliau tidak mahu terlepas peluang bertugas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sehingga terpaksa memujuk doktor pakar untuk ’melepaskannya’ keluar bekerja.
"Ketika itu, doktor sudah nasihatkan saya untuk jalani dialisis, namun disebabkan saya memujuk, jadi doktor beri tempoh seminggu sebelum berjumpanya semula.
"Tetapi, selepas pulang ke rumah, kesihatan saya makin teruk sebelum saya menyerah diri untuk jalani dialisis segera,” katanya.
Disebabkan penyakit itu, beliau terpaksa menghabiskan ribuan ringgit setiap bulan bagi membayar kos rawatan dialisis yang dilakukannya.
"Selain dialisis, kos ubat-ubatan juga sangat tinggi iaitu lebih RM700 setiap kali pembelian.
"Justeru, program ini secara tidak langsung memberikan kelegaan besar kepada saya yang memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan jangka panjang,” katanya.